Fallacy Keberadaan Ringgit.

Sejak 1 tahun lalu, matawang Ringgit dah lebih lemah daripada sebelum ni. Keluar banyak pendapat di kalangan orang ramai, yang kebanyakan sangkaan dan ada yang dongeng diulang-ulang.

Satu mitos yang sering diulang ialah:
“bawa duit/Ringgit ke dalam negara, kuat kan Ringgit.”
“Bawa duit/Ringgit ke luar negara, lemah kan Ringgit.”

Jika kita cuba dekonstruksi kenyataan tadi saja, ia kesilapan berfikir berpunca daripada semantik. Maknanya, kita bergantung kepada ayat untuk memahami ekonomi. Sepatutnya ayat digunakan untuk menceritakan dengan tepat tentang apa sebenarnya berlaku dalam ekonomi. Ini tidak, kita tuturkan satu ayat dan kita yakinkan diri kita yang ekonomi sebenar ikut ayat yang kita cipta tu.

Trend berfikir seperti di atas membuatkan orang bercakap secara tak jelas (pasal ekonomi), bagi mengelakkan untuk benda yang lebih mendalam. Equivocation fallacy. Ini membolehkan banyak orang memberi pendapat pasal ekonomi walaupun mereka tak jelas.

Berbalik kepada “keluar masuk duit/Ringgit ke Malaysia, membuatkan turun naik Ringgit.” Ada 2 contoh yang orang suka petik.

1) Pekerja Asing hantar “duit” ke negara asal.
Katakan pekerja Bangladesh beri RM1,000 kepada pengurup wang untuk dihantar ke Bangladesh. Menurut mitos orang ramai, duit RM1,000 ke luar negara. Sebenarnya tak. 23,000 Taka (matawang Bangladesh) yang dihantar ke Bangladesh, duit RM1,000 tu kekal dalam simpanan pengurup wang tadi.

2) Import barang dari luar negara.
Katakan, Ali ada kilang pasang basikal. Alat ganti diimport dari Sepanyol. Pembekal Sepanyol tu buat Producer Currency Pricing (PCP), dengan kenakan 1,000 Euro, iaitu matawang diguna di Sepanyol.
Bank di Malaysia tak bagi Ali buka akaun dalam matawang asing. Jadi Ali hanya boleh isi borang untuk pindahkan ke akaun Sepanyol tadi.
Bank Malaysia minta RM5,200. Ini urusniaga import. Sangkaan orang ramai ialah duit RM5,200 keluar pergi Sepanyol.
Sebenarnya tak. Hanya 1,000 Euro yang ke Sepanyol. RM5,200 tu kekal di bank Malaysia tadi.

3) Pelabur asing pindahkan duit dari Malaysia bila kadar faedah US naik.
Kadar faedah umumnya menaikkan kadar akaun simpanan tetap (FD). FD ialah duit lebih yang tak diguna. Selalunya, duit ni dalam dollar US. Pelabur tadi ada 2 pilihan, sama ada letak dalam FD di Malaysia (bank Malaysia pun ada FD dollar) atau pindah ke FD di luar. Kedua-dua pilihan pun, tidak melibatkan Ringgit keluar Malaysia.

Dalam 3 keadaan di atas, orang ramai selalu salah sebab ada 2 sangkaan salah:

A) Salahfaham yang Ringgit disimpan atau dipakai di negara-negara lain. Bank dan pengurup wang tak simpan Ringgit, kalau ada pun sikit saja, buat cukup syarat.

B) Fallacy of Composition. Maknanya orang ramai menganggap matawang yang berpindah rentas sempadan tu hanya satu jenis yang sama iaitu “Ringgit” atau lebih teruk anggap semua matawang sama ada Ringgit, dollar, Taka, semua sebagai unit matawang yang sama iaitu “duit”, walhal setiap matawang sifat dan kegunaan berbeza.

Justeru, menganggap Ringgit naik turun sebab keluar masuk Ringgit dari Malaysia adalah SALAH.

Hezri Sardi

Leave a comment