Pesawah: Mikro, Esoteric, Asymmetry.

Saya tengok forum ZRA Strim dengan 3 orang pesawah. Dalam menjawab soalan ZRA Strim, pesawah tadi menceritakan masalah mereka. Agenda ZRA Strim mungkin untuk memahami masalah pesawah padi seterusnya nak merungkai satu punca kepada isu kekurangan beras tempatan.
Agenda pesawah yang 3 orang tadi pula untuk menyelesaikan masalah peribadi mereka (mereka berhak untuk perjuangkan kepentingan sendiri)
Saya melihat cara berfikir di atas berada dalam kepala otak kebanyakan orang, dan ia sebenarnya buat masalah tak selesai.

Ada satu prinsip yang betul yang semua orang pegang iaitu: “Untuk selesaikan masalah dalam 1 industri atau kerja, hanya dapat dijayakan oleh orang yang ada pengalaman atau terlibat dalam industri atau kerja itu. Pengetahuan sebegini iaitu yang hanya boleh difahami oleh orang yang ada pengalaman langsung dalam sesuatu kerja, dipanggil sebagai pengetahuan ESOTERIC.

Satu lagi jenis pengetahuan yang boleh difahami semua tanpa terlibat dalam industri dipanggil pengetahuan EXOTERIC. ilmu tentang logik, ilmu ekonomi, ilmu politik adalah contoh EXOTERIC, iaitu orang boleh belajar tanpa pengalaman sebenar. Baca buku saja dah boleh.
Adalah INTUITIVE bagi semua orang yang pengalaman mesti ada untuk selesaikan masalah. Adalah COUNTER INTUITIVE untuk kata masalah boleh diatasi tanpa pengalaman.

Dalam forum ZRA Strim itu, saya ringkaskan apa yang 3 orang pesawah tu cakap:
1) Seorang pesawah Kelantan kata dia pergi jumpa Perdana Menteri dan dapat duit peruntukan.
Soalan saya: Dia Ni siapa? Ada banyak pesawah, kenapa dia dapat?
2) Ada pesawah kata dia rugi, bermasalah sebab kemudahan pengairan tak baik.
3) Setiap pesawah pakai benih berbeza dalam peraturan berbeza. Pesawah tak guna benih terbaik yang kerajaan mampu dapatkan.

Ada beberapa perkara lagi tapi rata-rata berkaitan isu pengeluaran padi. Ada juga yang bukan berkaitan pengeluaran tapi mengarut, misalnya, pesawah tu kata tengok persatuan pesawah Kelantan lagi bagus daripada pesawah di Perlis dan Kedah.

Pendek kata, mereka bercakap pasal kepentingan masing-masing, tak salah tapi isu perseorangan atau kumpulan kecil adalah isu MIKRO. Secara prinsip, MIKRO tak mungkin selesaikan masalah MAKRO iaitu kekurangan beras.
Lebih teruk lagi, pesawah tadi rata-rata bercakap pasal pengeluaran. Walhal isu jauh lebih banyak daripada sekadar isu pengeluaran.
Sesungguhnya isu pengeluaran untuk sekumpulan pesawah tak mungkin atasi masalah kekurangan beras. Sebab Padi tak macam bela ayam atau kambing yang boleh dibuat di mana mana. Padi hanya boleh ditanam di kawasan tertentu. Ada had kepada berapa banyak beras dihasilkan tapi tiada had bagi bilangan pemakan beras di Malaysia.

Ada 2 kemungkinan.

Pertama, pesawah yang 3 orang tu terlepas pandang atau tak anggap masalah lain sebagai masalah yang perlu diatasi.
Kedua, pesawah yang 3 orang tadi sembunyikan maklumat berkaitan masalah lain atas agenda tertentu.

Jika kemungkinan pertama saja, maknanya forum ZRA Strim tu tak berguna sangat. Ye lah, ada 100 masalah sebenar yang pesawah hadapi, tapi mereka hanya sedar 5 masalah. Maknanya, cakap dengan beberapa pesawah sajabtak berguna.

Jika kemungkinan kedua, ada masalah yang maha serius yang berpunca daripada pesawah sendiri.
Information Asymmetry ialah Jurang Maklumat. Yang kita sedia faham, ada jurang maklumat antara rantaian bekalan. Pengedar besar tahu lebih banyak daripada pengilang kecil. Pengilang besar tahu lebih banyak daripada pesawah.

Daripada pengakuan 3 pesawah tadi, jurang maklumat atau information Asymmetry berlaku antara pesawah. Ada pesawah yang lebih tahu daripada pesawah lain. Berdasarkan pengakuan dalam ZRA Strim, ada pesawah yang boleh dapat layanan lain daripada pembeli Padi. Ada beberapa kerat pesawah yang boleh dapat duit daripada Perdana Menteri, kebanyakan pesawah tak dapat duit daripada Perdana Menteri. Maknanya, kuasa langsung tiada pada pesawah.

Patutnya setiap pesawah kena dedahkan berapa banyak pekerja mereka, pekerja daripada mana dan cara pembayaran upah. Juga sawah itu diwarisi sejak generasi ke berapa? Banyak maklumat penting kita tak tahu, kenapa ia tak didedahkan?

Ada disebut juga kemudahan di sawah padi dan peruntukan hanya dipegang kerajaan pusat, bukan kerajaan negeri. Pemusatan kuasa pada pusat dan tiada desentralisasi ke negeri-negeri buat kerajaan berasa tak perlu bersaing untuk buat terbaik. Tak guna ada benih padi terbaik kalau tiada desentralisasi.

Perbincangan ZRA Strim yang tidak langsung selesaikan masalah tadi sebenarnya berpunca kepada Fallacy dan kecacatan logik di kalangan rata-rata rakyat yang mengabaikan terus ilmu EXOTERIC dan MAKRO, dan anggap semua boleh diselesai melalui pengalaman (esoteric), kononnya bila selesai masalah MIKRO, masalah MAKRO seperti kekurangan beras secara automatik selesai.

Hezri Sardi

Kartel Beras vs Mekanisme Lapuk

Saya tengok video podcast yang temuramah 2 wakil Persatuan Pengilang Beras Melayu (PPBMM). Sebagai pemegang taruh dalam industri padi beras, pengetahuan mereka dalam industri tak boleh dipelajari oleh kita yang tak terlibat dalam industri. Pengetahuan sebegini dipanggil ESOTERIC, yakni tak dapat dipelajari oleh semua orang. Walau bagaimanapun, dalam apa jua industri ekonomi, pengetahuan ESOTERIC tak mungkin selesai masalah ekonomi.

Untuk penyelesaian masalah ekonomi, pengetahuan ESOTERIC mesti ditukar menjadi EXOTERIC. EXOTERIC ialah pengetahuan yang semua orang boleh belajar.

Ada beberapa fakta daripada mereka:

1) Kartel beras dan padi itu wujud. Kartel ini berjaya kurangkan pengilang beras Melayu kepada 11 saja sekarang.
2) Pemborong padi Melayu dah tak wujud.
3) Pasaran beras bukan lagi terbahagi kepada 2, yakni beras tempatan dan beras import. Pembeli beli ikut jenama, pembungkusan beras. Jadi ada pelbagai harga.
4) Penguatkuasaan suruhanjaya persaingan dan Akta kawalan padi 1994 tak berkesan.

Saya jadikan rumusan ESOTERIC ini kepada EXOTERIC dengan kaitkan kepada ilmu mikroekonomi anti-trust antarabangsa.

Kegagalan kita memahami kartel kerana kita tak tahu prinsip MARKET DEFINITION, yang diguna organisasi antarabangsa seperti OECD dan lain-lain. Menurut prinsip ini, walaupun pasaran itu nampak macam satu pasaran saja iaitu pasaran beras, sebenarnya kita boleh pecahkan kepada beberapa pasaran berbeza. Di sini, ada lagi prinsip lain iaitu MULTI SIDED PLATFORM, iaitu “wadah menjual pelbagai rupa”.

Misalnya, wadah dalam pasaran padi beras boleh dipecahkan kepada:
1) Padi, kilang beli padi dari pesawah.
2) Kilang besar beli dari kilang kecil.
3) Kilang beli beras import dari BERNAS.
4) Pemborong beras beli pelbagai jenama daripada kilang. Setiap jenama adalah pasaran berbeza. Misalnya, jenama Faiza, Sakura dan Juara ada 3 Pasaran berbeza.

Undang-undang antitrust terkini pakai ujian untuk kenalpasti unsur monopoli , dikenali sebagai Hypothetical Monopolist Test (HMT). HMT ni menilai setiap pasaran padi beras tadi.

Kalau nak kata kartel kawal beras atau padi, tuduhan ini terlalu terawang-awang. Mahkamah hanya berminat produk mana yang kartel kawal. Juga bagaimana kuasa kartel di pasaran lain boleh kawal pasaran lain.

Misalnya dalam rantaian bekalan beras, kilang kecil dan kilang besar sama sama bersaing beli padi dari pesawah. Tapi kilang besar guna “predator pricing”(main harga) dan lain cara supaya pesawah hanya jual kepada mereka. Jadi kilang kecil huru hara nak dapat padi. Pemborong yang bergantung kepada kilang kecil tadi pun mati sebab kurang beras. Jadi, pasaran yang berbeza yang dikawal mempengaruhi pasaran lain.

Kesimpulannya, Kartel beras padi wujud sebab undang-undang persaingan dan ilmu kita tentang ekonomi persaingan masih di takuk lama.

Kedua, kita gagal membezakan antara ilmu ESOTERIC daripada EXOTERIC. Kita terlalu bergantung kepada input pemain industri yang ESOTERIC tapi tak berguna selagi ia tak diubah menjadi EXOTERIC.

Hezri Sardi

Ekonomi: Geometri dan Khayalan “Causality”.

\

Sebagai reaksi kepada krisis Iran-Tel Aviv, Perdana Menteri kata ia kurang beri kesan kepada ekonomi negara. Maknanya, kalau ekonomi negara semakin teruk lepas ini, jangan salahkan Iran. Kalau tak salahkan Iran, yang jadi punca kejatuhan ekonomi ialah kerajaan sendiri. Umum mengetahui masalah ekonomi kita semakin berat dan penyokong kerajaan dan agensi kerajaan sejak 1 tahun lepas salahkan faktor luar sebagai masalah ekonomi kita. Apabila Perdana Menteri kata perang timur tengah bukan punca, maka susahlah penyokong kerajaan nak “taichi” ke luar lagi.

Menurut “Blame Theory”, orang dalam organisasi besar, selalunya akan lebih suka menyalahkan pihak lain daripada cuba memahami punca masalah. Jadi penyokong tegar kerajaan akan salahkan punca luar, manakala majoriti besar rakyat akan salahkan Pak Menteri dan kerajaan.

Dalam setiap komentar pasal ekonomi, perkara yang pasti kita nampak ialah orang akan kata:
“Masalah ekonomi ni berpunca daripada itu, ini”. Ini dah jadi tabiat sesiapa yang nak komen pasal ekonomi. Kalau yang nak acah pandai, petik angka-angka. Seolah-olah data dan angka ini ialah kebenaran mutlak. Walhal angka-angka itu sebenarnya tak berapa penting, berbanding PERKAITAN DENGAN PUNCA MASALAH.

Dalam kaedah sains dan logik, ini dipanggil CAUSALITY atau CAUSATION. Bahasa Melayu nya PUNCA atau ASBAB. Rata-rata yang komen pasal ekonomi gagal dalam CAUSALITY.

CAUSALITY terbahagi kepada 2:
1) ASBAB yang primitif.
Maknanya ASBAB ini difahami melalui panca indera manusia sejak zaman purba lagi.
2) ASBAB yang derivatif.
Ini ASBAB yang direka oleh imaginasi manusia pada kemudian hari.

Untuk fahami perbezaan antara Primitif dan Derivatif, kita ambil contoh jantina. Jantina Primitif ialah Lelaki, Wanita, dan mungkin Khunsa. 2 atau 3 saja. Ini difahami melalui jasmani sejak zaman purba lagi. Tak perlu belajar, lahir di dunia saja kita akan faham.

Tapi zaman sekarang lebih-lebih lagi di negara barat, jantina ada lebih seratus. Bukan lelaki dan wanita saja. Gay, pondan, tukar jantina (trans). Bahkan mengikut rekod terbaru Amerika, seseorang boleh pilih jantina sebagai “alien”, “panda”, atau “penguin”! Orang yang mengaku panda dan penguin ni batang tubuh masih lagi lelaki, wanita tetapi dalam imaginasi mereka, jantina ialah panda dan penguin. Ini kerajaan jantina menurut barat, adalah “social construct” yang dikhayalkan oleh perasaan. Ini adalah Derivatif.

Justeru, CAUSALITY pun boleh jadi Primitif yang mengikut bukti sebenar depan mata atau CAUSALITY yang Derivatif iaitu produk khayalan manusia.

Dalam kefahaman ekonomi pun begitu juga. ASBAB atau PUNCA MASALAH ekonomi boleh jadi ASBAB sebenar atau ASBAB khayalan.

Selalunya yang ulas pasal ekonomi mencapai Causality yang Derivatif, ASBAB khayalan.

PUNCA ada hukum. Jikalau kejadian A dirumus menjadi PUNCA kepada kejadian B, A mesti berlaku dulu sebelum B. Maknanya, kalau A berlaku pukul 3 petang, maka B mesti berlaku selepas 3 petang. Hukum kedua, kalau ada kejadian C berlaku pukul 3 petang juga, maka A tak boleh jadi ASBAB kepada B. Bukti bukti melalui panca indera mesti diadakan untuk kata A sebabkan B, dan C bukan sebabkan B.

Orang politik suka kata:
1) Rasuah akibatkan Ringgit jatuh.
2) Pelampau Melayu Islam akibatkan ekonomi jatuh.

Di sini Causality gagal. Sebab tak menjawab soalan:
1) Apa bukti fizikal?
2) Pukul berapa dan Hari apa kejadian rasuah dan Pelampau berlaku? Pukul berapa dan Hari apa ekonomi jatuh?

Ada orang kata “Oh, Pelampau dan rasuah ini bukan 1 kejadian. Ada banyak banyak kejadian pada waktu berbeza”. Kalau macam itu, Causality (ASBAB) gagal dibuktikan. Kalau nak rumuskan PUNCA juga, maka ASBAB itu Derivatif, iaitu khayalan imaginasi manusia saja.
Oleh sebab kekangan Causality ini, ada ahli ekonomi pasca moden, antaranya Piero Sraffa, mengelak daripada mencari Causality (ASBAB).

Ekonomi difahami, penyelesaian ekonomi dibuat melalui Geometri. Dalam Geometri, tak perlu tahu mana satu kejadian berlaku dulu. A dan B berlaku serentak.

Misalnya,
1) Seorang manusia yang patah satu tangan, maknanya dia tinggal 1 tangan.
2) Kalau hutan seluas 100 ekar, 70 ekar ditebang dan diratakan, maka hutan tinggal 40 ekar.

Satu lagi bentuk perubahan Geometri daripada hukum Determinism yang pasti daripada Alam:
1) Kalau kita menyelam dalam air tanpa alat bantuan pernafasan, selepas 5 minit, kita mati.
2) Lelaki kahwin dengan lelaki, tiada zuriat terhasil daripada hubungan itu.

Pendek kata, sebab musabab yang dirumus dalam komentar ekonomi hanya satu khayalan saja. Kecacatan logik atau FALLACY yang selalu berlaku apabila kita terus cakap pasal benda begini ialah:
1) Reification- Bercakap pasal konsep yang abstrak, terawang-awang seolah-olah ia sesuatu yang jelas kontkrit.
Misalnya, “produktiviti” negara meningkat. “Malaysia ialah antara 5 negara paling gembira di dunia”.
2) Equivocation – Benda yang tak jelas, abstrak ini mudah untuk diputarbelitkan.
Misalnya, Inflasi terkawal. Oleh sebab konsep pengiraan Inflasi ni pun terawang-awang maksudnya, maka orang boleh cakap “Inflasi semakin reda, kenaikan Inflasi semakin menurun”.

Kesimpulannya, apabila ada komentar ekonomi di sana sini, kita kena awas.

Hezri Sardi

Ekonomi/Politik: Bidaah, Makro, Mikro, Sains Quantum.

Ekonomi tu begitu penting hingga semua orang mahu sembang pasal ekonomi. Tapi orang tak sedar kupasan ekonomi mereka tak sah kerana dah campur adik antara mikroekonomi dan mikroekonomi.
Ia macam definisi bidaah dalam agama. Satu aliran kata tu salah. Satu aliran kata bidaah tu ada yang boleh, ada yang salah. Nampak macam agama Islam tu bercanggah teruk antara aliran tapi sebenarnya tak.
Aliran 1: Bidaah tu salah.
Bidaah ialah adakah satu perkara baru dalam agama (ibadah, akidah). Tambahan dalam perkara duniawi tak dikira seperti naik motor, sistem cukai baru tak dikira bidaah.

Aliran 2: Bidaah ada boleh (mahmudah), ada tak boleh (mazmumah).
Bidaah boleh jika ia dalam urusan duniawi. Tak boleh jika urusan agama.
Jadi walaupun nampak bercanggah tapi sebenarnya tak bercanggah. Dalam kedua-dua aliran, took tambah dalam agama tak boleh, selain agama boleh. Hanya perbezaan panggilan tapi makna sama.

Analogi tadi boleh diguna untuk ekonomi.
Aliran 1: Perbincangan Makro saja boleh dikira sebagai ilmu ekonomi.
Aliran 2: Perbincangan ekonomi hanya sah jika Makro dipisahkan daripada Mikro.
Kedua-dua sebenarnya sama maksud. Banyak orang bercakap pasal ekonomi tapi kebanyakan hanya bercakap di peringkat Mikro. Ini dipanggil “Micro-underpinning”. Dia bercakap pasal bisnes individu seperti KFC, KK Mart, ataupun kumpulan tertentu seperti pembeli atau pelabur atau industri misalnya industri pelancongan. Tapi dia menyangka sedang mencari kesimpulan ekonomi. Walhal itu semua bukan ekonomi sebenarnya.

Saya, misalnya dapat membezakan antara mikro dengan Makro. Justeru, saya tahu bila saya cakap di peringkat Mikro, saya bukan cuba membuat kesimpulan ekonomi. Perbincangan Makro saja yang sepatutnya dalam ilmu ekonomi.

Apa itu Makro? Kena terlebih dulu faham Mikro.

Analogi 1: Quantum mechanics.
Masa sekolah dulu,.kita belajar fizik dan kimia. Unit terkecil dalam tubuh manusia bukan sel, tetapi atom. Dalam atom ada proton dan elektron. Maknanya, dalam ilmu fizik lama, di peringkat Mikro, kita terdiri daripada proton, elektron.

Tapi dalam fizik sekarang, elekton, proton pun bukan paling kecil. Dipendekkan cerita, dalam satu unit terkecil badan manusia, benda tadi hanya 5% saja, 95% hanya ruang kosong. Jika semua unit kecil di peringkat Mikro badan manusia digabungkan, 95% daripada badan kita hanya “ruang kosong”. Sama macam pokok, 95% daripada pokok cuma ruang saja.

Jika logik Mikro diguna, apabila kita, manusia langgar pokok, kita sepatutnya tembus pokok sebab manusia dan pokok sama sama terdiri daripada 95% ruang. Tapi dalam dunia sebenar, logik Mikro seperti zarah tak terpakai kepada benda lebih Makro seperti satu set badan makhluk.

Justeru, keadaan satu syarikat atau industri tidak boleh disamakan seperti ekonomi negara.

Analogi 2: Parti Politik.
Kita ambil contoh Parti Pribumi (BERSATU). Unit paling kecil dalam parti politik ini ialah Cawangan. Unit paling tinggi ialah Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT). Jawatan jawatan ini diundi oleh ahli. Di peringkat Mikro yakni Cawangan, pemimpin Cawangan yang bagus ialah yang ada pengalaman urus Cawangan. Di peringkat atas sikit, ada Bahagian. Pemimpin bahagian yang bagus selalunya ialah pemimpin Cawangan yang bagus. Kalau sesuatu bahagian ada 40 Cawangan, pemimpin bahagian yang bagus dikatakan mampu Pengurus 40 Cawangan. Pemimpin bahagian yang mampu uruskan 40 Cawangan dikatakan lebih bagus daripada pemimpin bahagian yang mampu uruskan 3 Cawangan saja. Ini kerana sifat Bahagian masih lagi Mikro, cuma lebih besar daripada Cawangan.

Tapi jika kita menggunakan kriteria Mikro tadi untuk memilih pemimpin MPT kebangsaan, maka berlaku caca merba Micro Underpinning. Katakan seluruh negara parti BERSATU ada 4,000 Cawangan, maka kalau kriteria Ketua Bahagian mesti pandai uruskan 40 cawangan, seorang MPT mesti pandai uruskan 4,000 Cawangan!

Ini tak masuk akal sebab otak seorang manusia itu mungkin boleh “multi functioning” fikir 40 Cawangan, tapi tak mungkin seorang tu boleh uruskan 100 Cawangan, apatah lagi 4,000 Cawangan.

Di sini, ada perbezaan kebolehan di peringkat MPT (Makro) dengan bahagian / Cawangan (Mikro). Misalnya, MPT ada yang pandai dalam ilmu ekonomi, ada pandai dalam ilmu sejarah, ada yang pandai dalam propaganda, kebolehan Makro ni tiada kaitan langsung dengan menguruskan Cawangan (Mikro). Takkan lah bila wartawan soal seorang MPT pasal isu ekonomi, MPT tu sembang pasal aktiviti Cawangan!

Hezri Sardi

Anti-Boikot= Anti-Ekonomi,Anti-Demokrasi

.Baru-baru ni tular apabila tuan punya kilang Melayu contract farming yang bekal ayam kepada KFC terpaksa jual kilang, akibat kejatuhan bisnes KFC. Isu dimainkan orang yang kononnya acah terpaling “Melayu”, kebanyakan penyokong kerajaan sekarang untuk kondem gerakan Boikot.

1) Hujah yang kosong.
Tak faham apa yang cuba dibuktikan oleh puak ni. Tak ada kajian lagi yang membuktikan gerakan boikot menjadi CAUSALITY atau punca kepada kejatuhan KFC.
Kedua, ini bercanggah dengan dakyah sinis puak ni sebelum ni yang kata boikot tak akan berjaya. Kalau mereka kata bisnes KFC jatuh sebab boikot, maka mereka bodoh sebab dulu mereka kata boikot gagal!

2) Anti boikot= anti demokrasi.
Penyokong kerajaan atau puak anti-boikot ni saya lihat ada “Kompleks rasa diri rendah”. Contohnya, apabila keputusan pilihanraya dulu tunjukkan hampir semua orang Melayu tak sokong kerajaan, maka mereka kempen boikot bisnes Kelantan, kutuk keturunan Jawa dan Boyan supaya balik Indon (Orang Cina mereka tak suruh pulak balik Tongsan pula!)

Boikot ialah satu kenyataan politik supaya jangan libatkan diri dengan syarikat berkaitan “Isr*#el”. Kalau puak anti-boikot kata boikot kurangkan jualan KFC maka itu itu hak demokrasi pemboikot, dan perlu dihormati, seperti mana majoriti besar Melayu undi pembangkang.

3) Boikot Kena Ada Ilmu?
Puak ni kata “Tengok lah. Usahawan Melayu dah bungkus. Lain kali boikot kena ada ilmu”.
Sebenarnya, yang tiada ilmu ni ialah puak anti boikot ni. Kalau ekonomi jadi ukuran suatu gerakan itu baik atau buruk, kita boleh panggil puak ni “Anti-Ekonomi”.

Tahu tak apa maksud “contract farming”? Macam ni, katakan (contoh) KFC ni dimiliki oleh sebuah syarikat kerajaan. Sebahagian (bukan semua) daripada pembekal ayam nya diberi kepada bekas kakitangan atau keluarga kakitangan syarikat kerajaan tadi. Ni biasa berlaku di mana-mana dan mungkin lebih besar di Malaysia, “Kapitalisme kroni”. Memang betul sebahagian kepunyaan Melayu. Tapi Melayu Kroni Kapitalisme yang selalu puak ni kutuk.

Contract farming ni bukan jual ayam kepada orang ramai atas harga pasaran. Jual kepada satu syarikat saja, misalnya KFC, pada harga tetap. Margin untung dah ditetapkan. Untung bergantung kepada berapa banyak ayam mati. Dan bergantung kepada bisnes KFC.

Tapi tak kisah lah, guna kabel ke apa. Tapi setelah bertahun-tahun buat contract farming, kalau lah mereka ni usahawan sebenar, mereka akan jual bersaing di pasaran terbuka. Ini penting bagi mengimbangi oligopoli kartel Cina yang dah lama kuasai pasaran.

Jadi kalau bisnes KFC jatuh, kalau betul pun sebab boikot, itu ialah “part and parcel” aka asam garam mikroekonomi. Kalau ada kedai makan gulung tikar, kita tak kutuk orang ramai tak makan kat kerai tu!

Kesimpulannya, puak anti-boikot menyalahkan gerakan boikot sebagai bunuh usahawan Melayu. Puak anti-boikot ni adalah Anti-Demokrasi dan Anti-Ekonomi!

Hezri Sardi

Fallacy Pertukaran Ringgit.

Ada satu lagi salah kefahaman, terjadi kepada hampir semua orang. Kalau dalam istilah jargon, orang ramai jadikan ayat semantik sebagai sumber kebenaran. Semantik bermaksud permainan kata-kata. Kebenaran sepatutnya bersumber bukti empirik, atau bukti fizikal yang boleh dikesan oleh panca Indera. Semantik patutnya hanya alat untuk persembahkan kebenaran.

Perkataan “Pertukaran” atau dalam bahasa orang puteh “Exchange”. Dalam isu Ringgit, “Pertukaran matawang asing” atau “Foreign Currency Exchange”.
Kesalahan teruk dalam kognitif kebanyakan orang ialah macam ni:
“Apabila Ringgit ditukar kepada dollar, Ringgit hilang sebab ia dah jadi dollar. Kalau RM4.80 ditukar kepada $1, maka RM4.80 hilang lalu wujud $1 baru.”

Kefahaman sebegini menganggap peranan manusia tak wujud dalam Pertukaran matawang. Tukar Ringgit kepada dollar, menurut orang ramai, adalah sama dengan tukar oksigen kepada karbon dioksida dalam proses semulajadi respirasi. Penglipur lara ekonomi kemudian memperkuatkan dongeng ini. Sekarang ada penglipur lara ekonomi dah jadi influencer ekonomi.

Maknanya orang ramai menyangka Ringgit di tangan mereka secara automatik boleh bertukar menjadi apa apa matawang tanpa pengaruh manusia manusia.

“To obtain something, something of equal value must be exchanged.”
Maksudnya, untuk dapat sesuatu, sesuatu yang sama mesti dikorbankan. Ini “Law of Equivalent Exchange”. Tapi kita tak faham yang penukaran fizik dengan penukaran pasaran jualbeli adalah tak sama.

Ini dijelaskan oleh legenda ilmu ekonomi, Piero Sraffa dalam buku “Production of Commodities by Means of Commodities.” Sraffa kata pengasas ilmu ekonomi seperti Physiocrats, Adam Smith dan David Ricardo memahami ekonomi secara fizikal dan objektif tapi pada pertengahan 1900an, analisa ekonomi menjadi abstrak.

Kefahaman ekonomi yang asal ialah misalnya,
10 kg arang batu + 2 kg bijih besi = Besi.
Ini kerana bijih dengan arang batu hilang lepas dibakar, yang tinggal ialah besi.
Dalam kes Ringgit, ia tak akan hilang lepas diberi kepada pengurup wang.
Apa yang berlaku hanyalah:
Kita ada RM480.
Pengurup wang ada $100.
Kita terima $100 daripada pengurup wang lalu simpan dalam dompet.
Pengurup wang terima RM480 daripada kita lalu simpan dalam petinya.
Hanya matawang bertukar tangan.
Dalam kes pertukaran bijih besi, hari ni, esok dan sampai bila bila kadarnya tak berubah.
Tapi untuk pertukaran matawang, jangan kata hari esok, lusa dan bulan depan berubah-ubah. Bahkan pada hari yang sama, kita boleh dapat pertukaran yang berbeza jika jumpa pengurup wang berbeza.
Oleh sebab pengurup wang ialah manusia, maka pertukaran matawang ada pengaruh manusia yang kuat. Pengurup wang juga harga mereka bergantung kepada kuasa manusia yang lebih besar.
Platform manusia yang bukan saja matawang malah beras, minyak dan banyak lagi bertukar tangan dipanggil PASARAN. Dalam buku teks ekonomi, anda didoktrinasi yang PASARAN hanya SUPPLY (penawaran) dan DEMAND (permintaan). Pada zaman sekarang, semua negara di dunia kata itu salah. OECD misalnya mengeluarkan garis panduan yang dipanggil MARKET DEFINITION. Setiap negara yang ada Akta Persaingan, secara bertulis mengakui dalam undang-undang mereka bahawa kuasa manusia adalah satu rukun dalam pasaran. Kuasa manusia juga yang tentukan harga, bukan Demand Supply seperti yang rakyat Malaysia masih lagi percaya. Cuma persoalan negara-negara maju ni ialah adakah kuasa manusia itu melebihi daripada yang sepatutnya. Kalau dah lebih, kena hentikan.

Dalam isu Ringgit. Ada pasaran dalam setiap pertukaran Ringgit kepada setiap matawang asing. Berdasarkan kefahaman sejagat tadi, dalam pasaran, ada kuasa manusia yang tentukan harga.

Tapi rakyat Malaysia, dengan didendangkan oleh politikus dan ekonomikus, di brainwashed yang harga Ringgit itu proses semulajadi yang tiada pengaruh manusia, bergantung kepada faktor bukan manusia iaitu Demand Supply. Patutlah kartel di Malaysia tiada siapa kacau!

Hezri Sardi

Ringgit: Causal Fallacy, Punca Luar

Apabila nilai Ringgit berbanding dollar US jatuh ke paling rendah dalam tempoh 26 tahun, Perdana Menteri suruh kita tanya Gabenor Bank Negara. Kemudian, Bank Negara pula kata punca dari luar negara. Sebenarnya banyak juga orang non partisan yang acah acah pandai kata Ringgit jatuh sebab punca luar.

Oleh sebab kita antara segelintir negara yang tiada akta data terbuka, jadi kita tak boleh paksa kerajaan dedahkan sumber data. Pada 80an dan 90an, gabenor-gabenor Bank Negara ada tulis buku pasal macam mana mereka buat keputusan. Berdasarkan buku-buku itu, saya yakin Gabenor sekarang tiada bukti untuk kata Ringgit jatuh kerana faktor luar.
Sebab untuk kata tu, sekurang-kurangnya dia kena pasti berapa peratus Ringgit ada di luar negara dan berapa peratus Ringgit dalam negara. “Rule of thumb” yang masuk akal ialah hampir semua Ringgit ada dalam negara sebab:
1) Ringgit tak laku di luar negara.
2) Hukum di seluruh dunia ialah 95% urusniaga tukar matawang adalah untuk import eksport, hanya 5% di pengurup wang.

Secara logiknya, jika ikut di atas, Ringgit tak kisah lah dibanding ke dollar, rupiah, baht, Euro, nilai nya ditentukan dalam negara.
Dari semasa ke semasa, kita dapat nilai Ringgit yang jauh lebih lemah bila ditukar di luar negara, misalnya ad orang tukar Ringgit kedollar di Dubai, kena sampai RM6 walaupun di Malaysia sekitar RM4.70!
Ini bukti-bukti nilai Ringgit di luar terpisah daripada nilai Ringgit dalam negara.

Dalam komen-komen isu ekonomi oleh orang ramai termasuk kenyataan terpaksa Gabenor Bank Negara tadi, berlaku kesilapan logik yang dikenali sebagai “Fallacy of Causation.”

Causation atau Causality bermaksud sebab atau punca. Ia berasal dari sains tulen atau sains alam semulajadi. Misalnya, sekeping daun terbakar bila diletak atas besi panas di bawah panas terik matahari. Mana satu yang sebabkan daun terbakar? Besi panas atau matahari.
Kaedah sains tentukan kebenaran. Buat 2 eksperimen berbeza. Satu daun letak atas besi panas dalam bilik tanpa matahari. Satu lagi daun letak atas tanah sejuk di bawah matahari.
Mana yang paling cepat terbakar adalah punca atau Causality. Maknanya, kena ada titik masa.

Dalam ekonomi, eksperimen sebegini adalah mustahil. Jadi, causality tak terpakai dalam ilmu ekonomi. Tapi kenapa orang masih yakin kata ini berpunca daripada itu, dalam isu ekonomi? Jawapan nya, mereka salah. Tak logik. Fallacy of Causation.

Ada beberapa istilah anda kena faham sebelum bincang isu Ringgit.
1) Akta Kawalan Tukaran 1953 (Pindaan 1969).
Ini beri kuasa kepada Gabenor Bank Negara untuk benarkan Ringgit ke luar negara walaupun misalnya seksyen 24, 25, 26 haramkan.
2) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 dan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.
Akta akta ni bolehkan Bank Negara cipta istilah Licensed Onshore Bank (LOB). LOB sekarang ada 57 bank. LOB saja yang boleh tukar Ringgit secara borong (besar) di Malaysia.
3) Akta Matawang 2020.
Akta ni untuk bataskan urusniaga pengurup wang. Pengurup wang ni istilah atas papan tanda kedai. Istilah sebenar undang-undang ikut akta ni ialah “Pemproses matawang”.

Akta-akta ni dan realiti antarabangsa menunjukkan mekanisme harga matawang hanya 2 hala. Misalnya, nilai Ringgit dengan dollar US tiada kaitan dengan nilai US dollar dengan Dollar Singapura.

Ketika perjanjian Bretton Woods sejak 1944 sampai 1971, memang ada kaitan antara semua matawang. Sebab nilai dollar US ditetapkan pada emas. Nilai Pound sterling British dan Jerman Deutsche Mark ditetapkan pada US dollar. Nilai dollar Malaya diikat pada Pound sterling. Pound pula diikat pada Deutsche dan Franc Perancis. Maknanya, nilai Dollar Malaya boleh diketahui secara automatik berbanding Deutsche dan Franc. Tapi Bretton Woods dibubarkan pada 1971.

Sekarang kita pasaran terapung mengikut Jamaican Accord 1976. Kaitan tiada antara Ringgit dengan matawang lain. Nilai adalah ikut pasaran 2 hala antara 2 Matawang. Bila masuk bab pasaran, kena tanya adakah pasaran matawang tu persaingan sempurna atau tak. Yang pasti Ringgit bukan pasaran persaingan sempurna sebab hanya LOB yang boleh jualbeli Ringgit secara besar-besaran.

Kesimpulannya, Bank Negara salah apabila kata nilai Ringgit bergantung kepada faktor luar.

Hezri Sardi

Circular Fallacy: Ringgit, Beras, Ali Baba, Pekerja Asing.

“Circular” ialah perkataan bahasa orang puteh, bermaksud “kitaran” atau “pusingan”. Dalam bahasa yang lebih kasar “Pi Mai Pi Mai Tang Tu jugak”. Maknanya, keadaan tak berubah posisi.
Dalam ilmu cognitive, ada satu kecacatan logik dipanggil “Circular Arguments Fallacy” berdasarkan keadaan tadi.

Sekarang isu ekonomi makin banyak. Ringgit jatuh, pekerja asing, “ali baba”, beras tempatan tak cukup. Oleh sebab setiap orang dah boleh tulis pendapat “ekonomi” dalam media sosial, kemampuan berfikir masing-masing ditayang kepada umum. Saya duduk, makan pop corn dan tonton sarkas.

Contoh circular argument fallacy:

1) Ali Baba.
Isu: Pemilik kedai sewa kan premis kepada warga asing.
Hujah Serang: Buat peraturan anti-ali baba supaya warga asing tak boleh sewa kedai.
Hujah balas: Kalau warga asing tak sewa, kedai kosong, pemilik tiada duit sewa.

2) Pendatang Asing.
Isu: Banyak pendatang asing bekerja dan berniaga, banyak yang tiada permit pun.
Hujah Serang: Jangan bagi pendatang asing ni cari makan, jangan bagi pendatang asing kerja, berniaga.
Hujah balas: Tak kan nak biar pendatang asing ni mati tak makan. Kalau tak bagi mereka cari makan, hantarlah mereka balik negara asal.
Tapi kerajaan dan rakyat tak nak keluar duit hantar pendatang asing tu balik.
Dan kilang kilang dan para tauke perlu pekerja asing demi kelangsungan bisnes sebab pekerja tempatan kononnya tak nak kerja.

3) Beras Tempatan.
Isu: Beras tempatan makin lama, makin tak cukup.
Hujah Serang: Negara kena tanam lebih banyak sawah padi, kena hasil lebih banyak beras.
Hujah balas: Penduduk Malaysia semakin bertambah termasuk pendatang asing. Semuanya makan beras. Sejak kedatangan pendatang Cina India dulu, beras tempatan memang tak pernah cukup. Sebahagian beras memang terpaksa diimport.

4) Ringgit.
Isu: Nilai Ringgit amat rendah sekarang berbanding dollar dan banyak matawang lain.
Hujah Serang: Eksport negara jatuh, pelaburan asing jatuh, kerajaan kena naikkan ini baru Ringgit naik. Banyak eksport dan pelaburan asing dalam dollar US.
Hujah balas: Ringgit jatuh sebab dollar US jadi kuat. Dollar kuat bila US naik kan kadar faedah sebab bila kadar faedah US naik, pelabur asing tadi keluar dari Malaysia.

Dalam 4 isu dan serangan di atas, anda akan “mati akal” bila dapat hujah balas seperti dinyatakan. Apabila anda “mati air”, anda akan ulang balik hujah serangan yang sama. Ulang ulang dan kerajaan akan bagi hujah balas yang sama. Macam ping pong! Keadaan tak berubah!

Untuk ubah, kita kena keluar daripada “deadlock” supaya hujah balas tak lagi boleh dipakai. Untuk itu, kena ada “tie breaker” untuk memecah kitaran ganas.

Contohnya, dalam isu pekerja asing. Tie breaker nya ialah:
Kalau para tauke nak sangat pekerja asing, kita bagi saja. Tapi dengan 1 syarat.
Kerajaan, Kementerian Sumber Manusia wajib paparkan secara telus dan terbuka:
A) Nama setiap syarikat tempatan yang gaji kan pekerja asing. Kalau ada 1,000 syarikat semua mesti ditunjuk kepada rakyat.
B) Kuota pekerja asing yang setiap majikan dapat juga mesti ditunjuk.
C) Warganegara pekerja asing atau daripada negara mana pekerja asing tu datang mesti ditunjuk kepada rakyat.

Rasionalnya ialah pekerja asing untuk hidup di negara ni akan ambil sumber daripada rakyat tempatan. Sekurang-kurangnya rakyat ada hak nak tahu siapa yang ambil sumber daripada mereka.
Untuk para tauke, kilang, mereka tetap dapat pekerja asing.
Tapi bila rakyat dapat tahu tauke ni dapat pekerja asing berapa banyak dan dari negara mana, keadaan akan berubah. Circular fallacy akan berhenti.

Ini semua amat penting sebab kebanyakan orang bila pasal isu ekonomi, mereka dalam Circular Arguments Fallacy.

Hezri Sardi

Game Theory dan Beras Madani.

Bulan ni, ada lawak antarabangsa. Yang lucu ialah penyokong kerajaan. Pemimpin politik flip flop ni benda biasa tapi penyokong parti politik bila buat cerita untuk menyokong tindakan pemimpin atas, adoi, tapi ada orang baca dan percaya pula tu.

Salah satu isu ialah beras. Umum mengetahui beras tempatan susah dijumpai di kedai-kedai. Dikatakan harga siling RM26/10 kg ni para pengedar / pengilang beras rasa tak berbaloi. Jadi, dikatakan mereka senyap senyap mencampurkan beras import yang mahal dengan tempatan yang murah, lalu dijual pada harga RM35/10kg ke RM40/10kg.

Pengerusi Jawatankuasa Kos Sara Hidup (NACCOL) yang mendapat mandat daripada Perdana Menteri, umumkan akan ada 1 gred beras saja dijual berbanding 2 sebelum ni iaitu tempatan dan import. 1 gred yang NACCOL umum ialah “Beras Madani” pada harga RM30/10kg. Maka menyanyi lah para penyokong kerajaan siang dan malam!

Penyokong kerajaan kata ini telah “game” kan kartel beras. Maka kartel pun buat bising. Rakyat buat bising mereka tak cakap. Menteri Pertanian pula kata dia tak pernah setuju Beras Madani ni. Di sini, amat lucu. Adakah penyokong kerajaan nak kata Menteri Pertanian mereka dikawal kartel?

Saya lihat cerita kartel beras ni dah jadi macam penglipurlara konspirasi. Kali ini, penyokong kerajaan yang sengal sengal ni guna. Esok lusa mana tahu penyokong pembangkang pun buat cerita yang sama. Amat kelakar di mana kerajaan yang ada kuasa, di mana ada 2 per 3 majoriti parlimen, tapi tak langsung bincang nak baiki Akta Persaingan 2010. Sebaliknya, keluarlah segala cerita penglipurlara tentang “game” antara kerajaan dan kartel dalam mengenakan satu sama lain!

Akta Persaingan ialah undang-undang Anti-trust. Di mana-mana di dunia, bercakap pasal kartel, mesti bercakap pasal anti-trust dan kedua, game Theory. Game theory dapat Anugerah Nobel Ekonomi pada 1994 (John Nash). Cerita konspirasi kartel yang penyokong kerajaan sembang tadi tu bukan Game Theory.

Rukun Game Theory sebenar ialah:
1) Pemain (penjual beras sama ada pengilang, pemborong, pesawah)
2) Strategi oleh pemain.
3) Payoff (Untung)
4) Information (Maklumat)

Rukun pertama pun dah “kantoi”. Dalam permainan iaitu pasaran beras, penyokong kerajaan gagal kenalpasti pemain pemain. Mereka cakap seolah-olah kerajaan salah satu pemain. Pengilang dan pemborong beras satu geng iaitu KARTEL. Menurut penyokong kerajaan, ada 2 pemain saja dalam pasaran beras iaitu “kerajaan” lawan KARTEL. Ini lawak antarabangsa sebab saya belum pernah lagi baca di mana-mana negara, kerajaan jadi pemain pasaran beras. Kerajaan patutnya buat dasar pasaran, bukan pergi jual beras dalam pasaran!

Yang kerajaan boleh buat supaya ada kumpulan lain dalam pasaran yang boleh lawan dengan kartel. Contohnya, pesawah, pengilang Melayu atau Syed Mokhtar.

Rukun ke 3 ialah Payoff atau untung. Kerajaan Nak buat untung, buat apa? Di hujung jualan Rahmah dan Madani ni, adakah kerajaan nak buat balik kedai 1 Malaysia? Yang mana strategi tu pun bercanggah dengan Game Theory sebab kerajaan pergi jadi pemain pasaran.

Soalan yang kerajaan dulu sampai sekarang elak jawab ialah adakah pasaran beras negara “Perfect competition” (persaingan sempurna) atau “imperfect competition” (persaingan tak sempurna). Nampaknya macam persaingan tak sempurna sebab tiada pemain baru dapat masuk jadi pengeluar, pengilang atau pengedar beras tempatan. Dan sama ada sempurna atau tak, kena tanya adakah pasaran beras kita berlaku Assymetrical price transfer (APT). Kalau kos naik, harga beras naik cepat tapi kalau kos turun, harga beras tak turun. Kenaikan kos tak sekata antara pesawah dengan pengedar. Ini kerana kuasa dan Maklumat di tangan pengedar/pengilang, bukan pada pengguna atau pesawah. Rukun ke 4 Game Theory ialah Maklumat.

Kalau penyokong politik nak sokong kerajaan, naratif kena mematuhi rukun Game Theory, begitu juga pembangkang nak bantai kerajaan, kena patuhi Game Theory. Isu beras, bahkan barang keperluan asas lain pasti berlarutan. Ada masa kamu semua nak belajar!

Hezri Sardi

Akta Persaingan Lapuk.


Suruhanjaya Persaingan akan pinda Akta Persaingan untuk tambah undang-undang mengawal penggabungan syarikat. Menurut pengumumannya, ia kata akta sedia ada hanya mengawal kartel, hanya satu rukun saja, jadi nak ditambah satu lagi rukun, iaitu kawal penggabungan syarikat.

Sesiapa yang ikut perkembangan dunia akan faham yang Akta Persaingan kita adalah kokak. Seksyen 4 yang juga pokok kepada kesalahan yang ditumpukan oleh akta ni, adalah “anti-kartel” yang mengharamkan PERJANJIAN yang ancam persaingan antara 2 atau lebih perniagaan. Jadi akan ada perniagaan yang bergabung menjadi satu entiti supaya tak jadi kartel. Klausa mengawal ini tiada.

Walau bagaimanapun, klausa mengawal penggabungan ni di negara-negara lain hanya wujud apabila kartel-kartel sudah terkena. Di Malaysia, belum lagi. Maknanya, dalam isu kartel ni, perjalanan masih jauh.

Dalam Akta Persaingan sekarang pun, ada satu larangan berkaitan “Kedudukan Yang Dominan”. Ini bukan kartel, tetapi untuk 1 perniagaan saja. Pendek kata, monopoli. Kalau penggabungan berlaku antara kartel sekalipun, klausa ini ada. Jadi, jika kerajaan nak tumpu satu aspek saja, secara logiknya, lebih baik naiktaraf klausa anti kartel, daripada masukkan klausa penggabungan. Itu pun jika para peguam ni nak lihat daripada segi logik ekonomi.

Jika kita kaji sejarah negara-negara maju yang ada undang-undang “anti-trust”, mereka buat beberapa pindaan dalam beberapa fasa. Ada fasa mereka masukkan “predatory pricing”, ada fasa untuk melindungi perniagaan kecil sederhana, dan lain-lain, tak sesuai untuk sebut satu satu dalam tulisan pendek sebegini. Negara kita nampaknya memilih “worldview lawyer” berbanding “pragmatis ekonomi” yang selalunya dibuat oleh negara-negara maju ketika mula-mula bangunkan undang-undang anti-trust.

Ketika semua terkesan dengan isu harga dan keperluan asas, dan kerajaan bila-bila boleh jatuh kalau rakyat marah, para peguam ni abaikan terus isu mendesak, iaitu kartel.

Misalnya, ada sesuatu yang berfungsi seperti kartel, tetapi bukan betul-betul kartel. “Conscious parallelism”. Misalnya, syarikat telco tiada perjanjian untuk bersama kawal pasaran, tapi ia memberi impak seperti kartel. Begitu juga dengan syarikat insurans. Bank-bank yang jual beli matawang juga begini.

New Zealand mengalami beberapa fasa hingga lah pada 2022, mereka sedar kat mana masalahnya. Banyak kerjasam dalam dunia swasta seolah-olah macam kartel. Usahasama, persatuan, dan macam macam lagi. Jadi, ada banyak “grey area” yang tak jelas. Lebih-lebih lagi, anti-trust banyak bergantung kepada keputusan mahkamah. Jadi, New Zealand masukkan klausa yang menukarkan kelabu kepada hitam putih untuk benda benda yang macam kartel tapi sebenarnya bukan. Macam kes bank, insurans dan telco tadi, ia memang kartel.

Pendek kata, yang mendesak sepatutnya ialah Akta Persaingan kita mendalami isu kartel. Ini dapat dibuat jika kita letak tepi dulu “lorat lawyer”, dan utamakan pragmatisme ekonomi.

Ingat, di New Zealand, sampai mereka suruh para kartel mengaku sebagai kartel lalu diberikan tempoh imuniti daripada tindakan undang-undang, dengan syarat kartel itu dihentikan secara beransur-ansur. Jadi, input tentang kartel bukan saja datang daripada whistleblower, rakyat, pesaing yang kalah, tetapi daripada kartel itu sendiri.

Hezri Sardi