Ekonomi Politik: Priori, Posteriori, Exoteric.

Apa yang saya kata lepas ni adalah paling tinggi makam dalam mencari kebenaran.
Dalam media sosial, misalnya, ada seorang pempengaruh yang banyak orang belajar ilmu ekonomi daripada dia, nama dia “Nazri Hamdan”. Dia selalu petik jargon daripada buku teks ekonomi bahkan banyak keluar fatwa ekonomi.
Satu lagi contoh, Ketua Jabatan Perangkaan keluarkan kenyataan “Ekonomi negara itu, ini”. Ini pun fatwa juga.

Sebab ekonomi dengan politik benda yang sama, kita ambil contoh politik juga. Kalau sesiapa terlibat dalam politik Melayu, selalu terdengar orang politik sembang “Nak berkuasa, parti politik mesti tambah ahli, tambah Cawangan.” Ini fatwa. Semua fatwa daripada mereka tadi dipersembah seolah-olah ia macam ayat Quran yang tak boleh dipersoal betul atau salah.

Kembali ke contoh tadi, Nazri Hamdan, influencer ekonomi tadi hanya picisan kalau nak dibandingkan dengan pelopor mazhab ekonomi Austrian, Ludwig Von Mises (1881-1973). Mises kata ilmu ekonomi adalah PRIORI. PRIORI bermakna tak perlu disokong oleh bukti dunia sebenar.

Maknanya, kalau permintaan (demand) naik, penawaran (supply) tak naik, maka harga barang naik. Itu dalil yang tak boleh disanggah.
Nilai Ringgit dipengaruhi pelaburan asing. Ini dalil tak boleh disanggah.
Kalau parti politik nak berpengaruh, kena tambah ahli, tambah cawangan. Ini doktrin, tak boleh lawan.

Pada zaman sekarang, Mises yang jauh lebih hebat daripada influencer ekonomi Tiktok tadi, dibantai teruk. Pendek kata, tidak boleh ada fatwa dalam ekonomi mahupun politik.

Dalam politik dan ekonomi, kebenaran adalah POSTERIORI, yakni mesti datang selepas bukti. Oleh sebab dalam keadaan berbeza, bukti berbeza, kebenaran berubah-ubah ikut bukti. Jadi, ilmu ekonomi mahupun politik tak boleh ada mufti!

Jadi adakah setiap benda dalam politik dan ekonomi kena ada pengalaman atau bukti? Sebab ia POSTERIORI. Tak. PRIORI amat penting dalam politik ekonomi, tapi bukan dalam bentuk “fatwa fatwa yang diterima bulat-bulat”.

PRIORI dalam politik ekonomi ialah struktur logik. Bahkan semua benda di dunia ini mesti melalui logik. Logik tak perlu pengalaman. Logik dipelajari tapi bukan melalui pengalaman.
Misalnya, logik, status Kewangan satu syarikat atau status industri pelancongan tak boleh disamakan seperti ekonomi negara. Atau Kemahiran kerja dalam Cawangan parti politik tak sama dengan skop kerja parti peringkat negara. Pengalaman hidup pun tak buat kita faham logik ini. Banyak peniaga berpengalaman misalnya sembang pasal ekonomi negara, walhal ekonomi negara tak sama dengan perniagaan atau industri!

Di sini, ada satu konsep yang pokok, yakni Esoteric atau Exoteric. Ini berkaitan dengan sesuatu ilmu dimonopoli atau tak. Misalnya, ilmu industri logistik hanya boleh difahami oleh orang yang bekerja dalam logistik. Maknanya, ilmu logistik dimonopoli orang bekerja dalam logistik. Orang di luar tak mungkin tahu. Begitu juga industri pendidikan, orang tak terlibat tak akan faham. Ini ESOTERIC.

EXOTERIC ialah ilmu yang semua orang dapat belajar, susah atau senang belakang kira. Yang penting orang tak perlu ada pengalaman untuk belajar. Boleh baca buku saja. Ilmu ekonomi adalah EXOTERIC sebab semua orang boleh belajar. Begitu juga dengan ilmu politik. Ilmu dasar negara semua boleh baca. Cuma dalam ilmu EXOTERIC, ada bahagian yang PRIORI, ada yang POSTERIORI.

Kenapa Rakyat wajib berpolitik? Kerana politik itu mempengaruhi ekonomi. Kerana politik (dan ekonomi) EXOTERIC, semua boleh belajar.

Tauke-tauke yang jadi ahli Persatuan Penternak Ayam, misalnya, dalam ESOTERIC sebab hanya segelintir orang terlibat dalam ternak ayam. Membeli, makan ayam adalah EXOTERIC sebab semua boleh belajar.

Dalam pemgumuman kerajaan, biasanya ada perkataan “Pemegang taruh” atau stakeholders. Ia ESOTERIC sebab kepentingan hanya kepada beberapa kerat rakyat. Tapi oleh sebab sistem politik kita rosak, kepentingan kumpulan kecil diutamakan kerajaan berbanding kepentingan semua (EXOTERIC). Sebab itu, pengumuman kerajaan pasti sebut “pemegang taruh” (stakeholders), bukan kepentingan rakyat. Politik yang tak rosak akan utamakan Rakyat berbanding “pemegang taruh”. Itu yang sampai bila kerajaan tak boleh selesai isu kekurangan beras, dia suruh rakyat makan ubi kayu!

Hezri Sardi

Leave a comment