Zahiri vs Liberal: Logik vs Wewenang.

Kes Nik Elin vs Kelantan menyerlahkan satu bentuk pemikiran di kalangan sekelompok orang Islam.
1) Apabila ada tangan manusia dalam sesuatu urusan agama, maka dianggap ia bukan hukum agama.
2) Walaupun sesuatu perbuatan dilarang, kalau tiada hukuman fizikal dalam Quran, maka larangan itu boleh dilanggar.

Semasa sekolah rendah, saya pergi sekolah agama Johor di sebelah petang. Ajaran sekolah tu taqlid ke mazhab Syafi’e.
Sekolah menengah, saya tinggal di asrama. Di sana, ada AJK surau yang tugasnya azan, solat jemaah, usrah/tazkirah. Tazkirah pun hanya cakap pasal sah batal wuduk, solat.
Di luar sekolah ada badan pengawas yang dilantik cikgu dan exco pelajar yang diundi dalam pilihanraya pelajar setiap tahun. Jika AJK surau hanya di surau pada masa tertentu, pengawas dan exco pelajar berkuasa di semua tempat dalam sekolah. Siap ada organisasi, misalnya Ketua pengawas, Presiden, Setiausaha Agung Exco Pelajar. AJK surau semuanya nama jawatan sama iaitu AJK surau.

Masa saya 15 tahun, ada beberapa pelajar baru masuk pada umur mereka 17 tahun. Mereka bawa pengaruh politik Islam ke sekolah. Akhirnya, AJK surau berubah jadi satu badan. Lelaki perempuan bergabung dengan organisasi diketuai Presiden. Walaupun pengaruh mereka masih di surau-surau saja, kandungan tazkirah sebelum selepas solat jemaah dah meluas skop sampai ke Arab. Ikhwanul muslimin, Hassan al Banna, banyak lagi.
Badan yang nama pendeknya BADRI ni ada perlembagaan pendek yang terpampang di surau iaitu:
“Pergerakan ini adalah berlandas kepada Al-Quran, Hadis dan Ijma'”
Di sini, saya selalu hairan sebab di buku teks Pendidikan Islam, ada sumber yang ke 4 iaitu IJTIHAD yakni pendapat ulama. Dan saya tahu dalam Mazhab Syafi’e yang kita bertaqlid guna Qiyas. Kenapa ia tak ditulis jadi sumber ke 4?

2 tahun kemudian, saya jadi Presiden BADRI yang ke 3. Masa tu, saya dah baca yang Dr Yusuf Qaradawi (Allahyarham) tak guna qiyas. Bahkan banyak ulama besar lain misalnya Imam Hanbal kritik Qiyas. Dan ada mazhab lain selain Syafi’e. Pendek kata, ada perbezaan pendapat yang kadang kala keras. Jadi saya faham perlembagaan BADRI hanya sampai Ijma’ saja; sebab nak elak perpecahan. Kenapa nak elak perpecahan? Sebab BADRI bukan setakat nak ajak orang solat, tetapi nak perjuang politik Islam. Cuma masalahnya, walaupun berjawatan Presiden, badan ni pengaruhnya masih terbatas di surau-surau saja. Jadi, saya pun buat rancangan untuk BADRI lebih tinggi daripada Exco Pelajar dan pengawas dalam 3 tahun lepas saya tinggalkan sekolah. Sesiapa yang datang ke sekolah tu kemudian akan dapati badan agama lebih tinggi daripada pengawas dan exco pelajar!

Selepas SPM, sibuk dengan masalah hidup, saya tinggalkan ilmu sampailah masuk 30 tahun, di mana saya mula belajar mazhab hanbali. Saya jumpa mazhab fiqh besar ke 5 iaitu Mazhab Zahiri.
Mazhab ni unik sebab biasanya pengasas mazhab ialah pelopor no. 1. Syafi’e, Hanbali, Hanafi, Maliki tapi pelopor no. 1 mazhab zahiri ialah Ibn Hazm yang lahir lebih 100 tahun daripada pengasasnya. Ibn Hazm juga satu-satunya imam besar mazhab yang hidup di Sepanyol.

Kalau anda ikut sejarah Fiqh secara mendalam, anda akan tahu mazhab zahiri dikenali sebagai “Literalist”, kerana ia ikut bulat-bulat perkataan dalam Quran dan hadis. Ini betul tapi tak cukup betul sebab Imam Ibn Hazm bina Mazhab Zahiri lebih daripada tu. Ibn Hazm terkenal kerana beliau pakar logik yang lebih baik daripada 4 imam mazhab besar kita.

Ibn Hazm boleh dibandingkan dengan Piero Sraffa dalam bidang ekonomi. Kedua-dua “menyempitkan” penggunaan akal dalam ilmu, supaya kemudian dapat diguna dengan lebih meluas. Satu lagi persamaan ialah mereka mengkritik dalam satu subjek yang sangat khusus. Ibn Hazm bidas kaedah Qiyas manakala Sraffa bidas neoclassical (teori demand-supply). Memahami Ibn Hazm membolehkan saya memahami Piero Sraffa 5 tahun kemudian.

Katakan, kita nak jawab satu soalan, “Adakah epal hijau manis?”
Kalau kita guna kedah Qiyas, kita akan kenalpasti “Illat” atau sifat/punca.
Menurut pengetahuan kita, epal merah rasanya manis. Kita pun menganggap epal hijau adalah manis hanya sebab epal merah manis. Walaupun epal hijau dan merah berbeza, kita tersilap anggap sifatnya sama hanya kerana kedua-dua ialah epal!

Ini contoh amalan culas dan cuai bila guna akal dalam analogi atau inductive reasoning. Ini yang biasa berlaku dalam Qiyas menurut Dr Yusuf Qaradawi dan Ibn Hazm.

Dalam bidang ekonomi pun selalu berlaku, misalnya bila nilai Ringgit jatuh, kita anggap ia berpunca daripada eksport jatuh atau pelaburan asing jatuh walaupun tiada bukti perkaitan. Ia penggunaan akal secara cuai dan culas.

Ibn Hazm kata dalam Qiyas, kecuaian biasa berlaku apabila manusia jadi wewenang bila memahami sifat, lihat contoh epal hijau merah tadi. Sebagai alternatif kepada Qiyas, Ibn Hazm guna Ad-Dalil. Maknanya perkataan dalam Quran dan Hadis serta bukti melalui 5 deria. Tidak membayangkan apa-apa yang tiada.

Kita ambil contoh nilai Ringgit berbanding dollar US. Kita sepatutnya cari bukti yang dapat dikesan oleh 5 deria antara Ringgit dan dollar. Tapi kita memasukkan unsur-unsur yang tiada di antara pertukaran Ringgit dollar. Misalnya kita masukkan kadar faedah US atau pindahan pelaburan yang tak melibatkan tukaran dollar Ringgit. Memasukkan unsur tak berkaitan sebenarnya hanya imaginasi akal kita.

Disclaimer di sini, Zahiri bukan Wahabi, bukan Khawarij kerana Wahabi, Khawarij adalah doktrin ideologi manakala Zahiri ialah kaedah intelektual.

Berbalik kepada Nik Elin dan pendokong liberal, mereka ni membawa wewenang ini ke tahap lebih tinggi, ekstrem. Misalnya, solat Jumaat adalah wajib. Maknanya ia dipaksa kerana ada dalil. Tapi orang liberal akan memahami hukum solat jumaat secara wewenang. Asalnya wajib, dipaksa tapi ditukar kepada “amalan agama ni tak boleh dipaksa-paksa, ia hak individu”!

Liberal ni bukan lagi culas atau cuai dalam penggunaan akal. Tapi lebih kepada nafsu. Bukan berkompas kepada standard tetap, tapi standard berubah-ubah ikut apa yang mereka suka dan tak suka.
Puak liberal sekarang kata apa yang melibatkan akal manusia, bukan hukum agama. Jadi, mereka keluarkan begitu banyak hal daripada hukum agama.
Sebaliknya, Ijma’ ada akal manusia dalam tu. Bahkan dalam mazhab yang ketat seperti zahiri, ad-Dalil pun ada akal manusia dalam tu. Jadi tak semestinya bila ada akal manusia terlibat, sesuatu benda tu terkeluar daripada hukum agama. Prinsip yang betul ialah jangan cuai dan culas dalam guna akal. Yang menariknya, jangan cuai dan culas dalam guna akal, ini turut terpakai dalam pemikiran ekonomi!

Hezri Sardi

Ekonomi: Teguran Untuk Semua.

Hidup kita semua, rakyat biasa makin susah. Kenyataan ini saya buat setakat ni saja sebab ia “self-explanatory”, yakni semua faham sangat. Tak perlu buktikan dengan apa-apa data atau statistik. Semua orang mengeluh tapia da sebahagian orang keluarkan pendapat-pendapat. Pendapat tentang punca masalah dan secara tak langsung negara kena buat apa nak atasi masalah ni. Ada kata politik dan ekonomi tak berkaitan. Tapi sebenarnya politik, ekonomi dan sosial semuanya benda yang sama.

Bila ada banyak pendapat, ada kata tiada pendapat yang salah. Kononnya, semua ada pendapat masing-masing. Tiada satu pendapat boleh menjadikan pendapat lain salah. Sebenarnya, keadaan seperti ini menjadikan masalah ekonomi (atau politik) tak dapat diselesaikan. Bila semua pendapat jadi betul- sesuatu yang tak masuk akal jika anda seorang yang banyak belajar. Budaya “semua pendapat betul, takde yang salah” sebenarnya berasal daripada satu kecacatan logik yang dipanggil “Middle Ground Fallacy” (argumentum ad temperantiam), ada yang panggil “False Compromise Bias”, ada yang panggil “Both-Side-rism”. Satu bentuk kesilapan berfikir apabila mengambil cara mudah untuk berada di Tengah-tengah antara pendapat yang bertentangan. Patutnya kita cari kebenaran dengan mendalami ilmu, tapi sebab malas, kita ambil tempat tengah-tengah!

Bias, fallacy atau kecacatan logik ini terpakai untuk apa saja terutamanya dalam ilmu.

Ada orang yang secara cuai berhujah kononnya dalam hukum Islam pun boleh berbeza pendapat. Sebab itu ada mazhab-mazhab fiqh.

Baik, macam ni dalam bidang hukum Islam, memang kita ada sekolah-sekolah yang bawa pendapat berbeza, yang dipanggil mazhab-mazhab fiqh. Mazhab fiqh yang utama ada 5 – Hanafi, Maliki, Syafi’I, Zahiri dan Hanbali. Tapi, wajib tahu sejak mana mereka ni berbeza?

Semua pelopor mazhab tadi bermula dengan belajar sumber pengetahuan yang sama- Al Quran dan Hadis. Bahkan bila mereka belajar sumber sama, tiada yang tiba-tiba kata “Solat boleh pakai seluar pendek”, “Solat fardu ada 6 waktu”, “Boleh minum arak”. Kalau ada berbeza pun, contohnya, “macam mana wuduk boleh terbatal”. Bahkan orang Syiah pun belajar Quran yang serupa dengan kita.

Gunakan logik dalam “Middle Ground Fallacy” dan Mazhab Fiqh Islam tadi ke dalam perbincangan ekonomi. Sepatutnya apa yang kita nak capai ialah “Memahami Kebenaran” bukan “Berbeza Pendapat sampai kiamat”. Walaupun kita dah berada pada zaman pasca-moden, kitab boleh guna contoh ni. Pada zaman moden dulu, mazhab ilmu ekonomi umumnya terbahagi kepada Austrian, Marxism, Keynesian, dan Chicago. Walaupun pembahagian tu dah tak berapa jelas sekarang sebab dah bercampur-campur, apa yang kamu semua baca dan bincang pasal ekonomi adalah tinggalan daripada mazhab tadi. Katakan kita hidup pada 1990an dan menghadapi perbezaan pendapat di tengah 4 sekolah ekonomi tadi.

Perbezaan pendapat dalam ekonomi tak sama dengan perbezaan antara mazhab fiqh. Jika and abaca balik, perbezaan pendapat ekonomi ni macam perbezaan antara agama. Macam berbeza nya agama Kristian, Hindu, Zoroastrian dan Buddha. Sumber pengetahuan tak sama.

Nah, kalau macam tu, kita – saya, kamu, dia, mereka ni berbincang pasal ekonomi, perbezaan kita bukan macam berbeza pendapat antara mazhab Syafie, Zahiri, Hanafi, Hanbali. Bila kita berbeza pendapat dalam ekonomi, selama bertahun lihat, sebenarnya anda dah macam beza antara agama!

Antara hujah silap “Middle Ground Fallacy” ialah “Oh, kita berbeza pendapat tapi tak bergaduh, yang paling utama jangan bergaduh”. Ini hujah salah kerana meletakkan “elak pergaduhan atau antagonisme keras sebagai rukun perbezaan” walaupun sebenarnya “Ketegasan dalam ilmu dan kebenaran adalah rukun walaupun terpaksa berlaga”.

Jadi, kita lihat berbeza pendapat dalam ekonomi dah umpama “agama-agama baru yang bercambah bagai cendawan lepas hujan”, atau “Ajaran-ajaran sesat yang wujud setiap hari”. Kalau kita nak ikut ajaran Islam, “Yang bercambah ialah mazhab-mazhab fiqh, bukan agama baru”. Justeru, untuk selesaikan apa yang digelar masalah ekonomi ni, pertama, kena pastikan, “Tak wujud agama-agama baru dalam ekonomi” atau “ajaran-ajaran sesat baru dalam ekonomi”.

Cara-cara orang cipta agama atau ajaran sesat baru dalam ekonomi ialah:

  1. Petik data, angka tertentu, ayat jargon tertentu daripada sumber tertentu lalu digoreng dalam bentuk meyakinkan. Ini berkaitan dengan ‘Confirmation Bias”; atau
  2. Memang betul petik buku teks ekonomi bulat-bulat, tapi bila mengaitkan dengan dunia sebenar, orang itu putar-belit supaya pendapat akhir menyokong parti politik yang dianuti, atau mempengaruhi orang mengikut arahan pihak yang bayar gajinya. Ini berkaitan “Biased punditry” atau ‘Conflict of interest commentary”. Ada influencer media sosial yang begini tapu orang belum tahu lagi.

Kesimpulannya,

  1. Dalam ekonomi, pertama sekali, paling penting ialah cari kebenaran. Kalau kita ikut cara Islam tadi, paling penting ialah sumber kepada pengetahuan. Pada zaman moden, ini dipanggil “Epistemology”.
  2. Selepas sumber ilmu ekonomi diperbetulkan, kita kena susun ikut struktur paling logik. Cara yang paling cepat dan berkesan ialah melalui “Normativity”. Maknanya, elakkan benda salah iaitu Cognitive Fallacy atau kecacatan logik. Ini boleh dicari dengan mudah dalam Google.
  3. Setelah melalui proses ini, barulah boleh berbeza pendapat dalam ekonomi. Barulah perbezaan pendapat ekonomi tidak jadi perbezaan agama.

Hezri Sardi

Logik Fiqh Ekonomi.



Cara banyak orang berbincang pasal isu ekonomi buat saya hilang selera. Walaupun banyak orang tak sedar, kita ni mengikut barat. Tak salah belajar dari barat. Masalah bila kita tiru tapi tak faham apa yang kita tiru.

Pemikir ekonomi barat, walaupun kebanyakan mereka agnostic atau atheis, tapi masa kecil membesar dalam kelas agama, sama ada Kristian atau Yahudi. Ini mempengaruhi cara mereka memahami ekonomi. Setiap agama tadi ada worldview tersendiri.

Christian: Yakin.
Dengan hanya keyakinan tinggi, seseorang boleh mengatasi masalah ekonomi. Dalam pasaran bebas, seseorang boleh “survive” kalau dia yakin. Sebab itu, banyak parti politik right wing / conservative barat yang sinonim dengan pasaran bebas.

Yahudi / Talmud: Matlamat.
Persoalan moral (halakha) dalam agama Yahudi dibincang melalui Talmud oleh rabbi-rabbi. Dalam worldview Talmud, kebenaran boleh berubah-ubah bagi mencapai matlamat.
Kebenaran bukan bergantung kepada logik, sains atau hujah, tetapi bergantung kepada sama ada seseorang mampu “spin”, belit, pusing isu itu.

Saya melihat orang Melayu misalnya, dalam isu ekonomi banyak berfikir melalui worldview tadi. Mungkin mereka sembahyang, mungkin niat mereka betul nak memperjuangkan isu ekonomi Melayu, tapi tanpa sedar berfikir melalui cara agama lain. Kebanyakan orang fikir cara Kristian, iaitu “keyakinan mengatasi segalanya”. Tapi ada sebahagian kecil yang berfikir secara Talmudic, iaitu kebenaran boleh diketepikan, yang penting boleh capai matlamat. Yang penting cara nak olah, nak persembahkan hujah itu meyakinkan.

Tapi kita orang Islam ada fiqh. Worldwide dalam fiqh hukum Islam berbeza dengan Kristian dan Talmudic. Kaedah fiqh ialah sebelum apa-apa, ada benda-benda yang kita wajib elak. Haram. Yang dinyatakan secara jelas dalam dalil. Yang paling besar, syirik atau menyekutukan Allah. Benda-benda yang dilarang secara jelas tak banyak, tak sampai beratus pun. Selain daripada larangan yang jelas, kita boleh berbeza pendapat. Itu dipanggil mazhab fiqh. Misalnya, ada pihak yang kata maulud nabi bidaah, ada yang kata tak bidaah.

Kalau nak cari kebenaran dalam Ekonomi, sebenarnya logik daripada cara fiqh ini digunakan. Sepatutnya sebagai umat Islam, kita berfikir melalui cara ni. Mungkin ekonomi ni ialah bidang moden ciptaan manusia, sebab tu kita tak terfikir nak pakai cara fiqh.

Cara fiqh ialah pertama sekali, kena kenalpasti lubang-lubang atau tembok-tembok yang kita mesti elak dalam perbincangan ekonomi. Pada zaman moden, manusia dah kenalpasti apa yang dipanggil “cognitive bias” atau “logical fallacy”, iaitu kesilapan dalam amalan logik yang manusia biasa buat. Bagi mencapai kebenaran, seseorang mesti mengelakkan seberapa banyak fallacy dalam perbincangan ekonomi.

Misalnya, antara kesalahan logik paling besar dalam perbincangan ekonomi ialah:
1) Fallacy of Composition.
Misalnya, menganggap semua peniaga Melayu memiliki agenda yang sama. Satu lagi contoh, walaupun ada banyak matawang wujud, tapi atas kertas, kita menganggap semua duit dalam bentuk Ringgit (supaya senang kira)
2) Reification.
Sesuatu maklumat itu sebenarnya hanya satu pendapat, anggaran, atau dalam bentuk abstrak, tapi kita anggap ia sebagai fakta fizikal yang tak boleh dipertikai.
Misalnya, permintaan (demand) dan penawaran (supply). Kita anggap ada satu ukuran fizikal tetap untuk itu walaupun ia hanya benda abstrak atau metafizik.
3) Causality.
Kita menganggap A menyebabkan B terjadi walaupun ini sepatutnya dibuktikan melalui banyak eksperimen.
Misalnya, kita anggap Ringgit jatuh disebabkan pelancong dan pelabur tak masuk Malaysia.

Jika kita guna cara fiqh, kita akan kenalpasti 20 kesilapan logik yang biasa dan pastikan perbincangan ekonomi kita tak langgar itu. Anggap Fallacy yang mesti dielak itu seperti lubang atau tempoh. Takkan nak masuk lubang atau langgar tembok?

Cuma memang mudah fallacy menjadi “obscure” atau samar, kerana ia bukan nampak depan mata. Seseorang boleh guna cara Kristian, dengan konfiden langgar semua tembok “fallacy” tadi kerana tiada akauntabiliti. Kalau langgar tembok, tak perlu dihukun atau disaman. Kalau kita jurutera, dan hasil kerja kita silap dan buat mudarat, kita boleh kena saman. Tapi kalau berbincang ekonomi dengan konfiden, belit sana sini, jika bawa mudarat kepada orang lain, tak kena apa apa.

Sebab itu, perbincangan ekonomi ialah sesuatu yang semua orang suka terlibat, tetapi rata-rata ikut cara Kristian dan Yahudi walhal ada cara betul ikut fiqh Islam.

Hezri Sardi

Umat: Taktik vs Fitnah.


Jika sesiapa ikut tulisan saya daripada dulu, dia akan tahu pendirian saya tak berubah:
“Kuasa Politik Melayu Islam lebih utama daripada isu korupsi”. Sekarang, banyak orang dah faham yang di Malaysia sekurang-kurangnya, hanya orang bodoh saja yang beria-ia mengutuk orang lain atas alasan rasuah. Orang bukan Islam terutamanya Cina tak peduli pasal rasuah. Yang penting kuasa politik. Dulu orang tak percaya cakap saya, tapi sekarang Allah dah tunjuk seluas-luasnya!

Pertama, kita bukan lagi di zaman perang politik dengan senjata. Kita sekarang hidup pada zaman mendapatkan kuasa melalui demokrasi atau pilihanraya . Sistem pilihanraya yang kita guna di Malaysia ialah First Past The Post (FPTP). Tak seperti sistem di negara-negara lain, FPTP menyebabkan pecah undi dalam pertandingan 3 penjuru.

Semenjak Pilihanraya 2018, orang Cina misalnya dah mengundi mengikut taktik. Maknanya, mereka tak mahu pecah undi lalu undi 1 parti saja (Pakatan Harapan). Tak boleh salahkan orang Cina kerana mereka bijak untuk dapatkan kuasa. Orang Cina banyak yang benci sesama orang Cina tapi mereka tak lah sampai menganggap Cina lain sebagai “syaitan”. Apa-apa pun mereka tidak emosional, mereka pastikan undi tak pecah dengan undi 1 parti saja. Tindakan tak membenci berlebih-lebihan, demi mengundi ikut taktik, sebenarnya selari dengan kebijaksanaan Islam.

Jika kita kaji balik sejarah, Nabi SAW sewaktu hayat baginda, hanya berperang melawan kuasa politik bukan Islam. Perang badar, Uhud, Khandak, Khaybar, Hunain, Taif sampai penaklukan Mekah. Walaupun Nabi menyedari kewujudan Abdullah ibn Ubay dan orang munafiq, Nabi tak membuang masa dan tenaga melawan Munafiq. Ini demi taktik!

Selepas kewafatan Nabi SAW, Khalifah pertama, Abu Bakar memerangi golongan murtad dan Nabi palsu dalam perang Riddah. Mereka ini bukan Islam.

Kemudian, khalifah kedua, Umar al Khattab memerangi Empayar Rom dan Empayar Parsi yang bukan Islam.

Begitu juga dengan khalifah ke 3, Usman Affan. Ingat! Pada hujung zaman Usman, ada orang Islam daripada Mesir memberontak tapi Usman larang orang Islam lain daripada membenci apatah lagi membunuh pemberontak ini, hingga pemberontak ini diketuai oleh anak Khalifah pertama, mengepung rumah Usman. Akhirnya, Usman terbunuh.

Allah kemudian mahu tunjuk sesuatu kepada kita pada zaman khalifah ke 4. Saidina Aishah, dan sahabat Nabi, Talhah Ubaidillah dan Zubair al Awwam, telah memerangi Khalifah Ali Abu Talib. Dalam Perang Jamal itu, Ali menang. Mengikut hukum Islam, pemenang boleh menjadikan si kalah sebagai hamba. Maknanya, isteri Nabi, Aishah akan jadi hamba. Tapi Ali membebaskan semua yang kalah. Dalilnya, HANYA ORANG BUKAN ISLAM YANG BOLEH DIJADIKAN HAMBA. Ini dijadikan contoh ikutan (precedence) dalam hukum kerana selepas itu orang Islam mula berperang sesama sendiri.

Apabila umat Islam berpecah lagi kepada parti Muawiyah, parti Ali dan parti Khawarij, Ali tak ikut hasutan orang bukan Islam yang mahu Ali putuskan terus hubungan dengan parti lain. Ali hantar Abdullah ibn Abbas untuk memujuk separuh daripada Khawarij untuk masuk bersama partinya.

Setelah berperang dengan Muawiyah dalam Perang Siffin, Ali masuk gencatan senjata dengan Muawiyah dalam peristiwa Al-Tahkim di mana Ali sanggup hilangkan gelaran Amirul Mukminin dalam rundingan dengan Muawiyah walaupun Ali masih berkuasa.

Apa yang saya nak tekankan di sini ialah hingga zaman Usman Bin Affan, orang Islam hanya lawan bukan Islam. Hitam lawan putih.

Tapi, bermula zaman Ali, orang Islam berlawan dengan orang Islam. Allah nak tunjuk kepada kita. Tiada hitam putih (jahat baik) dalam permusuhan sesama Islam.

Keutamaan ialah kesatuan umat Islam dan taktik supaya kuasa politik umat Islam yang masih minoriti ketika itu, tidak jatuh.

Pada zaman sekarang di Malaysia, dalam masyarakat majmuk, keadaan dah jadi kabur. Mengikut hukum para sahabat tadi, sepatutnya tiada hitam putih antara 2 parti beragama Islam yang berperang. Yang ada hitam putih hanya antara Islam dan bukan Islam (tapi ayat ini saja sekarang dituduh sebagai 3R). Ada orang Islam yang marah kalau kita seru “orang Islam wajib bersatu-padu untuk martabatkan kuasa politik Islam”. Tak tahu nak cakap apa lagi!

Hezri Sardi

SalamSuaraMajoriti

Muhammad SAW vs Pluralism.


Mawlud Nabi ialah hari kelahiran Nabi Muhammad SAW. Ia ialah hari memperingati perbuatan Nabi. Tapi kita di Malaysia, sebuah negara yang 30% rakyatnya bukan Islam, dengan orang Cina yang bukan beragana Islam menguasai ekonomi, ceritanya lain berbanding dengan negara yang Islam dominan.

Orang Cina ialah majikan. Orang Cina juga memberi dana untuk parti parti politik. Sebarang perbincangan pasal Islam pasti akan buat orang Cina terasa. Misalnya, dalam isu pengajaran 40 hadis kepada pelajar Islam, orang bukan Islam mahu beberapa hadis dikeluarkan kerana tak kena dengan mereka.

Jika seseorang Melayu bergantung secara ekonomi kepada Cina, dia akan pastikan naratif yang dia bawa pasal Islam dan Nabi mesti disukai oleh orang Cina. Dalam sejarah sebenar, Nabi ada pedang yang dipanggil Zulfiqar. Nabi juga ketuai perang; Badar, Uhud, Khandak, Khaybar, Hunain, Taif. Kalau seorang Islam bercakap benar, dia akan mengaku semua ni walaupun kita tahu orang bukan Islam tak selesa dengan kebenaran ini. Tapi kalau seseorang Islam terhutang budi dengan bukan Islam, dia akan senyapkan penglibatan Nabi dengan perang. Ini dipanggil Revisionism. Dia menceritakan sejarah ikut selera sendiri.

Orang Islam seperti ini mungkin selalu bersama dengan mereka yang beragama Buddha dan Kristian. Dalam Kristian, ada Jesus dan St Paul. Dalam Buddha ada Gautama Buddha. Tokoh agama Kristian dan Buddha tak kahwin, tak berperang, tak campur dengan politik. Nabi SAW pula bukan saja kahwin tapi kahwin lebih satu, berperang, dan campur politik. Apa yang Nabi SAW buat bercanggah dengan imej tokoh agama lain. Justeru, Melayu yang nak jaga hati bukan Islam akan ubah imej Nabi SAW hingga sama seperti Jesus, St Paul dan Buddha.

Di sini, datangnya Pluralisme. Bermula dengan sifat apologetic terhadap bukan Melayu, kemudian buat revisionism. Masalahnya, Pluralisme terpaksa hilangkan sejarah Nabi yang dia tak suka. Ini amat bermasalah.

Katakan, seorang bernama Hezri. Dia selalu kritik kerajaan. 40 tahun kemudian, orang hilangkan sejarah pasal dia kritik kerajaan sebab masa tu orang anggap kritik bermakna hancurkan negara. Tapi, sebenarnya Hezri kritik atas dasar ilmiah, bukan semata-mata sokong itu, ini. Tapi 40 tahun kemudian apabila perbuatan Hezri kritik kerajaan disenyapkan daripada sejarah, personaliti Hezri tu jadi menyeleweng sebab dah berubah jadi orang lain.

Begitu juga dengan Nabi SAW. Semata-mata nak jaga hati orang bukan Islam, dia senyapkan sebahagian perbuatan Nabi, misalnya berkaitan perang. Alasannya zaman sekarang, perang dah tak relevan. Tapi SIAPA DIA NAK KATA PERANG DAH TAK RELEVAN?

Mungkin akan datang kita terpaksa berjuang dalam perang. Kalau kita dah buang sejarah Nabi dan perang, orang Islam akan datang takut nak berjuang walaupun keadaan masa tu memaksa.

Siapa kita untuk ubah sifat Nabi SAW? Semua perbuatan Nabi wajib diajarkan selagi ia sahih. Siapa kita untuk kata itu relevan, ini tak relevan?

Hezri Sardi

SalamSuaraMajoriti

Percanggahan Sekularisme.

Menarik apabila ada politikus bukan Islam DAP menggunakan ayat Quran sebagai dalil. Sebab perjuangan DAP dan penyokong DAP ialah mempertahankan sekularisme dalam politik negara. Apabila politikus DAP guna ayat Quran sebagai hujah, maka dia langgar prinsip sekularisme. Dan Malaysia Madani itu pun agak melanggar sekularisme. Agak lucu kerana penyokong DAP beria-ia menentang sesetengah parti politik demi mempertahankan konsep sekularisme.

Sekularisme sebenarnya ialah konsep moden yang bermula melalui Perjanjian Westphalia pada hujung abad ke 18. Antara kesan perjanjian itu ialah agama diasingkan daripada negara bangsa. Ini dilakukan dengan membuang pengaruh Pope Catholic daripada negeri-negeri Eropah barat. Pendek kata, makna sebenar sekularisme ialah pengasingan politik daripada agama Kristian. Ia bukan untuk asingkan politik daripada agama Islam.

Namun apabila penjajah barat mewujudkan koloni di seluruh dunia, doktrin sekularisme ini diterapkan di tanah pribumi, termasuk Tanah Melayu yang sebelum itu mengamalkan sistem ala Islam. Sejak itu, British misalnya memaksa penduduk Tanah Melayu menggunakan doktrin sekularisme dalam perlembagaan. Maknanya, pada awal abad ke 20, definisi sekularisme diperluaskan bukan saja kepada agama Kristian, tetapi juga agama-agama lain termasuk Islam.

Akan tetapi, pada abad ke 21 atau pasca-moden, definisi agama itu diperluaskan lagi oleh Barat. Banyak kajian di United Kingdom / England membuktikan ini. Misalnya pada November 2022, bancian mendapati hanya 46% penduduk di sana beragama Kristian. 22 juta orang adalah Atheis (tidak percaya Tuhan). Atheism diiktiraf sebagai satu identifikasi agama di Eropah. Ada satu lagi yang lebih penting. Banyak pengkaji sosial dan politik telah meluaskan definisi agama atau kepercayaan kepada ideologi. Misalnya, jika seseorang begitu percaya kepada ideologi liberalisme, maka dia dikatakan menganut kepercayaan liberalisme. Ada beberapa ideologi besar di Barat, rata-rata dikaitkan dengan parti-parti politik kerana parti politik Barat kebanyakannya berasaskan ideologi.

Menurut kajian, agama adalah sama macam ideologi kerana kedua-duanya berasaskan kepercayaan (faith). Contohnya, kalau penyokong sesuatu parti politik begitu yakin terhadap ideologi ekonomi partinya, maka itu tidak berasaskan fakta dan bukti, sebaliknya ia berasaskan kepercayaan. Dalam DAP pun, banyak ideanya bukan berasaskan sains dan bukti, tetapi hanya kepercayaan membuta-tuli. Menurut kajian Barat, itu pun satu agama!

Justeru itu, apabila penyokong DAP nak mempertahankan sekularisme, itu amat bermasalah. Kalau ikut definisi sekularisme yang semakin popular di barat, epatutnya politik perlu diasingkan daripada apa-apa ideologi, bukan setakat agama. Kedua-duanya sama iaitu kepercayaan.

Tapi DAP mungkin kata “Oh, sekularisme ini hanya terpakai untuk kepercayaan kepada Tuhan saja. Kepercayaan kepada ideologi tanpa Tuhan tak dilarang oleh sekularisme.”
Tapi bukankah dalam rukun negara ada “Kepercayaan kepada Tuhan”?

Dan tak semua agama sembah Tuhan. Misalnya, Buddha tiada Tuhan. Sesetengah orang yang mengaku Taoism pun tidak sembah Tuhan.

Satu contoh, penyokong DAP percaya yang dasar ekonomi kerajaan mesti mengikut pasaran bebas walau apa pun terjadi, itu tak boleh dipersoal. Ini ialah satu kepercayaan kerana dalam banyak keadaan, kajian membuktikan mengikut pasaran ekonomi bebas secara buta-tuli adalah tak bagus. Tapi oleh sebab mereka begitu percaya kepada ekonomi bebas, maka penyokong politik ini tak peduli kepada kajian dan bukti. “By book or by crook”, mesti ikut doktrin ekonomi bebas. Ini satu kepercayaan!

Kesimpulannya, dalam dunia pasca moden, sekularisme tidak lagi relevan.

Hezri Sardi

Khawarij, Label.

Baru-baru ini heboh pasal ahli politik melabel lawan sebagai khawarij. Tulisan saya bukan untuk sokong mana-mana pihak, tapi komen ilmiah.

Seperti istilah wahabi dan salafi, khawarij dah jadi macam label. Orang tak pernah mengaku wahabi, salafi atau khawarij. Pihak lain yang beri gelaran. Misalnya, penyokong PAS dianggap fanatik, taksub lalu digelar khawarij. Sebagai seorang yang tak pernah mengundi sampai umur 39 tahun, saya terkejut. Yang saya lihat selama ini penyokong totok UMNO adalah taksub, semua orang nampak. Bahkan penyokong Anwar Ibrahim, kita lihat fanatik lain macam.

Luar daripada politik kepartian, manusia boleh “taksub” kepada macam macam perkara. Taksub kepada kekayaan. Taksub kepada diri (narcissistic). Istilah tepat berbanding “taksub” ialah prejudis.

Berbalik kepada khawarij, ia sebenarnya merujuk kepada satu kumpulan pada zaman khalifah ke 4, Ali Abu Talib. Khawarij memerangi khalifah dan melawan Muawiyah. Dengan kata lain, khawarij ialah kelompok manusia dalam ilmu sirah (sejarah). Tak wujud sekarang. Umpama kalau panggil orang Cina sekarang sebagai komunis, koumintang atau MPAJA, tentu lah salah sebab itu semua hanya wujud dalam sejarah silam.

Walau bagaimanapun, adalah logik untuk kita kata sesuatu kumpulan itu ada ciri-ciri khawarij atau komunis. Kumpulan tu dah tak wujud tapi menurut kajian sejarah, mereka ada ciri-ciri tertentu. Tapi tak boleh lah nampak ada orang macam fanatik agama saja, terus digelar khawarij.

Sejarah dipelajari daripada sumber. Sumber yang paling jelas pasal khawarij hanya riwayat Abdullah ibn Abbas. Ibn Abbas pergi masuk ke markas khawarij, berhujah dan kemudian separuh daripada khawarij ikut Ibn Abbas, tinggalkan kumpulan itu.

Menurut riwayat Ibn Abbas, ada beberapa sifat khawarij yang di ceritakan dengan teliti. Berikut ciri-ciri khawarij yang diceritakan:

1) Enggan berbincang tentang hal ilmiah dan enggan guna otak.

2) Suka spin, putar belit bila kalah hujah.

3) Menolak hukum yang dipersetujui umum jika tak untungkan puak mereka.

Sila google kisah perbahasan antara Abdullah ibn Abbas dengan orang khawarij. Agak popular riwayat ini.

Apabila kita baca cerita daripada Ibn Abbas, penyokong “fanatik” UMNO dan PKR pun nampak sangat ada salah satu daripada ciri-ciri itu.

Sebagai orang Islam, kita nak perbaiki diri. Riwayat pasal khawarij tadi adalah sumber pengajaran. Kalau asyik tuduh PAS khawarij, yang melambak dalam PKR dan UMNO ada sifat-sifat khawarij tu macam mana? Nampak sangat perangai khawarij! Akhirnya, bila asyik gelar dan tuding jari yang satu pihak khawarij, pihak penggelar yang jelas sekali ada sifat khawarij pun terlepas pandang untuk perbaiki diri, hapuskan sifat-sifat khawarij yang ada pada diri.

Ingat ya. Menurut Ibn Abbas, kalau kita menolak ilmiah dan intelektual, pun dah bersifat khawarij. Kalau kita kuat spin dan putar belit pun, itu sifat khawarij.

Hezri Sardi

SalamSuaraMajoriti

Bukan Islam dan Quran.

Perlu ditegaskan di sini. Tak siapa nak salahkan orang Cina atau orang bukan Islam untuk baca terjemahan Quran dan petik Quran. Kepada puak Melayu yang apologetic terhadap DAP, jangan lah putar belit.

Di negara-negara barat, selalu je orang bukan Islam membincangkan agama Islam dan Quran. Motif ada pelbagai, bukan satu atau dua tujuan saja. Dalam kes politikus DAP yang guna ayat Quran, motifnya ialah guna ayat Quran sebagai hujah supaya Melayu sokong kerajaan (DAP). Dan kita tahu yang dia bukan pergi telaah ayat-ayat dalam Quran pun. Kemungkinan besar, ada orang Melayu yang bagi dia satu buku atau artikel pasal itu. Tak mungkin dia buang masa berjam-jam untuk melalui proses ilmiah. Kalau dia betul-betul melalui disiplin ilmiah, tak mungkin dia bercakap secara dangkal macam tu.

Kalau tengok video-video YouTube, sangat banyak orang bukan Islam yang cakap pasal Islam dan Quran. Sebahagian mereka melalui proses ilmiah. Kita dapat membezakan antara orang yang motifnya ilmu dengan yang bukan. Tak semestinya seseorang bukan Islam akan memuji-muji Islam selepas melalui proses ilmiah, tapi hasil percakapannya menampakkan dia menghabiskan berbulan atau tahun mengkaji. Di Malaysia, mungkin tak sampai 10 orang bukan Melayu saja yang bermotifkan itu. Yang pasti politikus bukan Islam bukan sebahagian mereka. Mereka hanya sentuh Islam kalau ada “untung”.

Walaupun ahli akademik bukan Islam mengkaji Quran, mereka ada batasan sebab mereka tak membesar dalam suasana Islam. Misalnya, di barat, ada bidang mengkaji manuskrip agama. Mereka sepakat kata Gospel (bible yang Kristian guna) telah ada tokok-tambah terkira bilangannya. Kemudian, mereka pun mengkaji Quran, nak tahu adakah Quran itu tiada tokok-tambah sejak zaman Nabi SAW. Mereka 99% yakin yang Quran yang ada sekarang adalah sama macam mushaf yang diseragamkan pada zaman Usman. Bahkan ada manuskrip sebelum Usmani yang tiada perbezaan ketara dengan Usmani. Cuma mereka tidak menemui bukti yang Quran daripada zaman Nabi. Jadi, mereka berpendapat ada kemungkinan tokok-tambah selepas kewafatan Nabi. Ini kerana pengkaji barat henya menerima bukti dalam dokumen fizikal yang mereka dapat buat ujian “carbon dating”. Mereka tak terima yang Quran dihafal atau dicatat secara berasingan oleh orang Islam. Kita, umat Islam, faham yang hafalan Quran pun boleh jadi mekanisme. Misalnya, jika ada orang Islam zaman sahabat yang simpan sebahagian Quran, terdapat banyak sahabat yang simpan ayat Quran yang sama malah hafal, hingga berlaku proses verifikasi antara satu sama lain. Siapa yang memandai-mandai buat ayat baru, bukan saja mudah dikesan malah budaya ketika itu akan menyebabkan si penokok tambah dibunuh. Budaya sebegini tiada dalam pemeliharaan Judeo-Christian. Ia macam “peer pressure” di kalangan umat dalam pemeliharaan Quran.

Sama macam orang Cina di Malaysia, walaupun mereka berlagak pandai. Mereka langsung tak faham hidup Melayu. Saya dulu dipaksa mak bapak bersama ratusan budak lain untuk duduk mengelilingi guru Quran setiap petang. Tak belajar tajwid, tapi guru hanya rotan kalau bacaan tak kena dengan telinganya.

Masa sekolah rendah, kena paksa pergi sekolah agama. Budak perempuan belajar dalam bangunan batu tapi budak lelaki belajar bawah balai yang berlantaikan tanah. Kalau sampai lewat, meja diambil budak lain. Kadang-kadang kerusi pun hilang. Balik sekolah agama, pergi tengok drama alih bahasa Jepun, Gaban, Kesatria baja hitam, atau amoi Jepun main bola tampar. Lepas habis menonton, pergi main kat luar. Orang cina misalnya tak mengalami hidup sebegini. Tak akan faham.

Saya pernah sekolahkan satu budak PKR yang beria-ia dengan ideologi partinya. Saya kata ideologi yang dia nak bawa akan berlawan dengan benda yang sedia ada di kalangan Melayu. Dia tak boleh kata ideologi dia tak akan berkonflik. Tetap akan berlanggar. Sistem Islam dah wujud lebih 1400 tahun. Begitu juga Melayu yang dah wujud lama. Ideologi PKR hanya wujud 20 tahun, tak mungkin boleh telan Islam. DAP mungkin pakai ideologi kongsi gelap Cina yang berabad abad wujud, tapi itu tak terpakai kepada Melayu.

Dia balas sebab tu kena hapuskan politik berasaskan Melayu dan Islam. Saya jawab, bukan ke dah kata tadi, macam mana ideologi yang baru 20 tahun nak hapuskan benda yang dah 1400 tahun? Tak kisahlah kau nak kata lawan kau tu tunggang agama dan bangsa. Lawan kau tunggang benda yang jauh lebih mampan, robust, anti-fragile berbanding ideologi yang kau pegang. Macam mana pun kau tak boleh memang!

Begitu macam mana kita nak faham pasal isu politikus bukan Islam guna Islam.

Hezri Sardi