Circular Fallacy: Ringgit, Beras, Ali Baba, Pekerja Asing.

“Circular” ialah perkataan bahasa orang puteh, bermaksud “kitaran” atau “pusingan”. Dalam bahasa yang lebih kasar “Pi Mai Pi Mai Tang Tu jugak”. Maknanya, keadaan tak berubah posisi.
Dalam ilmu cognitive, ada satu kecacatan logik dipanggil “Circular Arguments Fallacy” berdasarkan keadaan tadi.

Sekarang isu ekonomi makin banyak. Ringgit jatuh, pekerja asing, “ali baba”, beras tempatan tak cukup. Oleh sebab setiap orang dah boleh tulis pendapat “ekonomi” dalam media sosial, kemampuan berfikir masing-masing ditayang kepada umum. Saya duduk, makan pop corn dan tonton sarkas.

Contoh circular argument fallacy:

1) Ali Baba.
Isu: Pemilik kedai sewa kan premis kepada warga asing.
Hujah Serang: Buat peraturan anti-ali baba supaya warga asing tak boleh sewa kedai.
Hujah balas: Kalau warga asing tak sewa, kedai kosong, pemilik tiada duit sewa.

2) Pendatang Asing.
Isu: Banyak pendatang asing bekerja dan berniaga, banyak yang tiada permit pun.
Hujah Serang: Jangan bagi pendatang asing ni cari makan, jangan bagi pendatang asing kerja, berniaga.
Hujah balas: Tak kan nak biar pendatang asing ni mati tak makan. Kalau tak bagi mereka cari makan, hantarlah mereka balik negara asal.
Tapi kerajaan dan rakyat tak nak keluar duit hantar pendatang asing tu balik.
Dan kilang kilang dan para tauke perlu pekerja asing demi kelangsungan bisnes sebab pekerja tempatan kononnya tak nak kerja.

3) Beras Tempatan.
Isu: Beras tempatan makin lama, makin tak cukup.
Hujah Serang: Negara kena tanam lebih banyak sawah padi, kena hasil lebih banyak beras.
Hujah balas: Penduduk Malaysia semakin bertambah termasuk pendatang asing. Semuanya makan beras. Sejak kedatangan pendatang Cina India dulu, beras tempatan memang tak pernah cukup. Sebahagian beras memang terpaksa diimport.

4) Ringgit.
Isu: Nilai Ringgit amat rendah sekarang berbanding dollar dan banyak matawang lain.
Hujah Serang: Eksport negara jatuh, pelaburan asing jatuh, kerajaan kena naikkan ini baru Ringgit naik. Banyak eksport dan pelaburan asing dalam dollar US.
Hujah balas: Ringgit jatuh sebab dollar US jadi kuat. Dollar kuat bila US naik kan kadar faedah sebab bila kadar faedah US naik, pelabur asing tadi keluar dari Malaysia.

Dalam 4 isu dan serangan di atas, anda akan “mati akal” bila dapat hujah balas seperti dinyatakan. Apabila anda “mati air”, anda akan ulang balik hujah serangan yang sama. Ulang ulang dan kerajaan akan bagi hujah balas yang sama. Macam ping pong! Keadaan tak berubah!

Untuk ubah, kita kena keluar daripada “deadlock” supaya hujah balas tak lagi boleh dipakai. Untuk itu, kena ada “tie breaker” untuk memecah kitaran ganas.

Contohnya, dalam isu pekerja asing. Tie breaker nya ialah:
Kalau para tauke nak sangat pekerja asing, kita bagi saja. Tapi dengan 1 syarat.
Kerajaan, Kementerian Sumber Manusia wajib paparkan secara telus dan terbuka:
A) Nama setiap syarikat tempatan yang gaji kan pekerja asing. Kalau ada 1,000 syarikat semua mesti ditunjuk kepada rakyat.
B) Kuota pekerja asing yang setiap majikan dapat juga mesti ditunjuk.
C) Warganegara pekerja asing atau daripada negara mana pekerja asing tu datang mesti ditunjuk kepada rakyat.

Rasionalnya ialah pekerja asing untuk hidup di negara ni akan ambil sumber daripada rakyat tempatan. Sekurang-kurangnya rakyat ada hak nak tahu siapa yang ambil sumber daripada mereka.
Untuk para tauke, kilang, mereka tetap dapat pekerja asing.
Tapi bila rakyat dapat tahu tauke ni dapat pekerja asing berapa banyak dan dari negara mana, keadaan akan berubah. Circular fallacy akan berhenti.

Ini semua amat penting sebab kebanyakan orang bila pasal isu ekonomi, mereka dalam Circular Arguments Fallacy.

Hezri Sardi

Dasar T20 dan Kecacatan Logik.


Kerajaan nak hapuskan subsidi untuk golongan T20. Kategori B40, M40 dan T20 hanya wujud di Malaysia. Dipendekkan cerita, T20 mewakili pendapatan tinggi, M40 pendapatan sederhana dan B40 pendapatan rendah. Rakyat Malaysia dibahagi-bahagikan mengikut pendapatan bulanan. Asalnya, ia bertujuan untuk kerajaan beri bantuan kepada golongan di bawah. Sekarang, ia dah jadi satu fakta mutlak yang WAJIB dipercayai. Dalam proses ke arah itu, kategori B40, M40, T20 terlebih dulu jadi alat propaganda.

Terbaru, kerajaan nak tarik subsidi untuk golongan T20. Yang pertama kena tarik ialah bil elektrik aka bil api. Bil api ialah BELANJA. T20 seperti dijelaskan tadi ialah pasal PENDAPATAN bulanan. Bil api ialah duit keluar manakala T20 berkaitan duit masuk.

Kerajaan nak beri bantuan kepada golongan “pendapatan rendah” saja. Cara kenalpasti, ialah melalui jumlah pendapatan. Daripada mana untuk buktikan pendapatan? Slip gaji, akaun bank atau mungkin penyata untung rugi perniagaan, atau kenyataan penghulu. Ini kalau betul betul nak ikut dasar T20, M40,B40 yang kerajaan nak buat.

Tapi Perdana Menteri cakap kerajaan nak kenakan bil tinggi kepada rumah yang banyak guna elektrik. Rumah yang guna api sikit dapat harga subsidi, manakala rumah yang banyak guna api dapat harga kayangan!

Justeru, asas kepada dasar antara subsidi atau harga kayangan realitinya ikut BELANJA, bukan ikut PENDAPATAN seperti yang digembar-gemburkan. Ada kontradiksi di sini.

Menteri mungkin berhujah kononnya semua yang banyak guna elektrik ialah golongan T20. Ini bermakna menteri meletakkan PREJUDIS terhadap semua yang banyak guna elektrik.

Kita tahu begitu banyak rumah yang banyak guna api walaupun bukan golongan kayangan. Misalnya, banyak orang Melayu B40 duduk ramai ramai dalam 1 rumah. Anak, adik beradik dan sepupu duduk 1 rumah kerana harga rumah mahal. Bila dah sampai 10 orang duduk 1 rumah, penggunaan elektrik pastu tinggi!

Kategori B40 M40 T20 ini begitu bermasalah. Tapi apabila ia digunapakai untuk dasar sama ada nak bagi subsidi atau tidak, ia mempunyai Kecacatan logik yang pokok, iaitu subsidi diberi untuk BELANJA tetapi kategori B40 M40 T20 pula kategori PENDAPATAN!

Oleh sebab logik antara kedua-dua tak berhubung, politikus terpaksa buat PREJUDIS kononnya orang banyak guna keperluan asas semuanya T20!

Hezri Sardi

Ekonomi: Metafizik vs Fizik.


Perdana Menteri mengarahkan siasatan dibuat kerana kononnya negara rugi 4.5 trilion ringgit sejak 1997 hingga sekarang. Yang peliknya, bilangan duit dicipta dalam negara setakat 2023 hanya sekitar RM2 trilion!
Banyak orang musykil kerana kalau siasatan dibuat, mesti lah nak disalahkan individu tertentu. Kalau tiada sesiapa nak disalahkan, lebih baik buat Suruhanjaya DiRaja untuk siasat bagaimana bank swasta mencipta duit baru dalam ekonomi Malaysia.

Ada orang yang mempertikaikan angka RM4.5 trilion kerana terlalu besar. Tapi itu sebenarnya perkara kemudian. Yang paling asas ialah kepentingan semantic angka itu. Berbaloi kah angka itu dan apa nak dibuat seterusnya dengan angka itu. Kalau tak, siasatan itu akan buang masa dan tenaga!

Kalau saya, setiap angka yang diberi kepada saya, saya terlebih dulu tetapkan sama ada angka itu bersifat:
1) Fizik, atau;
2) Metafizik

Fizik
-Cabang sains.
-Dapat diukur dan dikira secara empirik melalui 5 panca indera. (Mata, sentuhan, bunyi, rasa, bau)
-Berkenaan dunia jasmani.

Metafizik
-Cabang falsafah.
-Tidak boleh diukur melalui 5 panca indera, sebaliknya difahami secara abstrak.
-Berada dalam akal saja.

Saya beri 2 contoh.

Duit. Duit ialah angka angka yang wujud dalam komputer. Walau bagaimanapun, kita mungkin dapat ukur duit melalui bilangan duit dan kelajuan duit.
Irving Fisher dulu pernah keluarkan formula M=V x P x T di mana V ialah kelajuan. Suruhanjaya DiRaja Redcliffe di England pada 1950an membuktikan teori kelajuan duit (Liquidity theory of money).
Bank bank pusat dunia mengukur bilangan duit melalui M1, M2 dan M3. Bilangan (quantity) ialah sifat fizik. Di samping itu, pembahagian M1, M2, M3 adalah mengikut kecairan duit. M1 bergerak lebih laju daripada M2, M2 lebih laju daripada M3. Justeru, duit ialah komponen dalam ekonomi yang bersifat fizik.

Gaji vs Harga Hartanah
Kita selalu dipersembahkan dengan isu ini:
Pada 1990an, gaji permulaan graduan ialah RM1,800 dan harga rumah ialah sekitar RM100,000. Pada 2020an, gaji permulaan graduan masih RM1,800 tetapi harga rumah RM800,000.
Kita cuma memahami isu secara intuitive, tapi tak siapa dapat kenalpasti penyelesaian.
Ini kerana kita gagal menggunakan logik secara betul.
Gaji ialah manifestasi kelajuan duit setiap bulan, jadi ia FIZIK.
Nilai tanah pula tak boleh diukur melalui FIZIK, jadi ia METAFIZIK.
Masalahnya, kita mengaitkan kewujudan FIZIK (gaji/duit) dengan METAFIZIK (nilai hartanah).
Tapi kalau hartanah nak dibandingkan dengan benda FIZIK, misalnya ia boleh dibandingkan dengan keluasan tanah (ekar/hektar). Jadi, FIZIK dibandingkan dengan FIZIK.

Untung rugi syarikat adalah METAFIZIK. Harga saham adalah METAFIZIK. inflasi adalah METAFIZIK. Permintaan (demand) dan Bekalan (Supply) dalam teori harga mikroekonomi adalah METAFIZIK.
Tak lebih daripada konsep yang subjektif.

Bila Perdana Menteri kata negara rugi 4.5 trilion ringgit akibat rasuah, ia METAFIZIK.

Tanpa membezakan antara angka FIZIK dan METAFIZIK, analisa ekonomi hanya tak lebih daripada sembang kosong yang sia-sia.

Hezri Sardi

Gross Capital Formation

Gross Capital Formation
(Hezri Sardi)

Penanda aras ekonomi yang paling diketahui umum ialah Keluaran Dalam Negara Kasar atau Gross Domestic Product (GDP). GDP tak relevan tapi ia paling banyak digunapakai.

Gross Capital Formation (GCF) pula kurang terkenal tetapi ia ialah kayu ukur paling hampir dengan orang yang ke arah pelaburan dan pembentukan modal. Beberapa pembincang ekonomi yang pro-pelaburan di media sosial saya dapati suka petik GCF ini.

Apa beza antara GDP dengan GCF ?

Ada antara Tuan Puan yang menjalankan perniagaan, bukan? Mesti ada buat laporan kewangan. Laporan kewangan itu terdiri daripada, antaranya:
1) Laporan untung rugi
2) Kunci Kira Kira atau Laporan Modal, Aset & Liabiliti

GDP berasal daripada Laporan untung rugi.
GCF berasal daripada Kunci Kira Kira.

Dalam kiraan untung rugi, ada pendapatan dan belanja.
Dalam Kunci Kira Kira, ada aset dan Liabiliti.

Belanja dan pendapatan hanya bertahan, berkumpul selama 1 tahun saja, Lepas 1 tahun, ia hilang. Misalnya, belanja pada 2020 ialah RM1 juta. Pada January 2021, belanja ialah RM100 ribu. Belanja daripada 2020 tak boleh dibawa ke 2021 untuk menjadikan jumlah belanja RM1 juta 100 ribu. Sebaliknya, apabila 2020 tamat, belanja RM1 juta itu hilang dan buka buku baru pada January 2021. Maknanya, belanja pada 2021 tak boleh campur dengan belanja 2020.

Dalam Kunci Kira Kira, aset pula berbeza. Aset boleh terkumpul dan dibawa ke tahun seterusnya. Misalnya, aset pada 2020 ialah RM1 juta. Ia dibawa ke 2021. Kalau ada tambahan aset sebanyak RM100 ribu pada January 2021, maka aset itu menjadi RM1 juta 100 ribu. Yang tambahan 100 ribu itu lah pembentukan modal atau capital formation.

Oleh sebab GDP menggunakan konsep daripada perbelanjaan tadi, GDP pada 2020 tak boleh dibawa ke 2021. Pada 2021, GDP buka buku baru. Seperti untung dan belanja, GDP hanya boleh dibandingkan antara tahun. Misalnya, pendapatan 2019 ialah RM100 ribu, manakala 2020 ialah RM110 ribu. Kita kata pendapatan 2020 lebih besar daripada 2019 sebanyak 10 ribu atau 10%. Kita tak boleh kata pendapatan bertambah sebab pendapatan 2019 tiada kaitan dengan 2020.

Begitu juga dengan GDP. GDP pada 2019 tiada kaitan dengan GDP pada 2020. Ia hanya boleh dibandingkan. Misalnya, GDP pada 2019 ialah RM1 trillion, GDP pada 2020 ialah 0.5 trillion. Maknanya, GDP 2020 lebih kecil daripada GDP 2020. Tak boleh kata GDP menguncup atau berkurang kerana GDP 2019 berbeza, berasingan daripada GDP 2020.

Konsep mengembang, menguncup boleh digunakan untuk Gross Capital Formation (GCF) kerana aset boleh dikumpul dan dibawa ke tahun depan. Misalnya, aset pada 2018 ialah RM1 trilion , aset pada 2019 ialah 1.1 trilion, 2020 pula ialah 0.9 trillion. Màknanya, capital formation atau aset bertambah 0.1 trilion pada 2019 dan menguncup 0.2 trilion pada 2020. Benda yang sama bertambah dan berkurang selama beberapa tahun.

Pihak yang pro-pelaburan berhujah bahawa pertambahan aset atau modal atau pelaburan itu akan bangunkan ekonomi. Idea, konsep ini betul tapi tak kena, kerana semua penunjuk aras tadi sama ada GDP atau GCF adalah dalam nilai ringgit atau dalam bentuk monetari.

Konsep pertambahan modal hanya kena kalau kayu ukur itu dalam bentuk ekonomi sebenar (real economy). Misalnya, pada 2018, ada 10,000 ribu pokok durian, pada 2019, ada 11,000 pokok durian, maknanya berlaku capital formation atau pertambahan aset / modal sebanyak 1,000 batang pokok durian. GDP kalau dalam bentuk sebenar juga sesuai untuk ukur produktiviti. Misalnya, pada 2018, hasilkan 100,000 buah durian, pada 2019, 110,000 buah durian.

Bila kayu ukur dalam bilangan sebenar, bukan nilai duit, GCF betul betul ukur modal, GDP betul betul ukur produktiviti.

Masalah dalam GDP dan GCF sekarang, ia diukur dalam nilai duit. Ia pun jadi apa orang puteh cakap, “Neither here nor there.” Nak ukur apa pun tak kena, tak tepat !

Sebab bila kayu ukur dalam nilai duit, ia secara automatik mengukur duit. Tapi matlamat GDP dan GCF misalnya, bukan untuk ukur duit, tapi untuk ukur “ekonomi”. GDP, GCF lebih kena untuk ukur duit, tapi kita tak ukur duit. Sebaliknya, kita guna untuk ukur “ekonomi”. Akhirnya, ukur duit pun tidak, ukur ekonomi pun tidak. Ia terawang awang.

Ada pula yang begitu fanatik, begitu single minded dalam menggunakan data data GCF ini untuk menyokong konsep “pelaburan membangunkan ekonomi”.

Dulu, masa ilmu ekonomi baru wujud, ada satu mazhab ekonomi iaitu Physiocrat, yang secara tepat dan saintifik menerangkan konsep pertambahan modal. Ia tak diukur dalam nilai duit, tetapi diukur dalam bilangan benda sebenar. Orang pro-pelaburan kalau guna cara berfikir sebegini, baru lah hujah mereka kena.

Kalau setakat petik angka angka GCF sebagainya membuta tuli, itu tak ubah macam jargon. Tak, jauh lebih teruk daripada jargon. Menggunakan angka angka, data data, sebagai jargon untuk menakutkan orang, untuk menunjukkan pandainya dia. Walhal orang pun tak faham apa kena data angka itu dengan isu. Zaman sekarang, orang dah kurang guna istilah teknikal sebagai jargon, sebaliknya orang lebih suka guna data dan angka sebagai jargon untuk menakutkan orang.

Prinsip saya, ialah sebagai umat Islam, kita mesti galakkan fikiran yang terang dan jelas.

Hezri Sardi

KDNK & Lockdown

KDNK & Lockdown
(Hezri Sardi)

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan baru baru ini mempertikaikan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) sebagai sebab kerajaan tidak melaksanakan Lockdown Penuh.

Saya tidak mahu berhujah, tapi lebih berminat ke arah pendidikan dan kebenaran. Saya setuju dengan Shahril yang GDP tidak relevan lagi untuk diguna sebagai petunjuk ekonomi.

Cuma berkenaan kenapa GDP tak sesuai digunakan, penerangan Shahril tak tepat.

Kenapa GDP ialah petunjuk ekonomi yang tak betul?

Katakan ada seorang tauke kaya yang berniaga jual rumah mewah. Sebuah rumah harganya RM5 juta. Tauke tadi berjaya menjual 100 buah rumah kepada orang kaya dalam masa 1 bulan. Justeru, pendapatan sebulan oleh seorang tauke ini ialah RM 500 juta. RM500 juta ini menambah ke angka GDP. Kita pun melonjak sebab GDP naik RM500 juta sebulan. Namun begitu, urusniaga yang berlaku hanya 100 saja. 100 orang pembeli rumah kaya dengan 1 tauke kaya penjual rumah. Pendek kata, barang dan duit bertukar tangan antara 101 pihak saja.

Di suatu sudut kehidupan yang lain, ada 100 ribu orang penjual makanan. Dalam sebulan setiap penjual makanan menjual RM100 kira kira 20 urusniaga seorang. Mereka semua, jika dikumpulkan semua jualan, memperoleh RM10 juta sebulan melalui 2 juta urusniaga.

Orang kaya melalui 100 urusniaga saja berjaya naikkan GDP sebanyak RM500 juta tetapi 100 ribu peniaga kecil hanya menaikkan GDP sebanyak RM10 juta walaupun mereka bekerja keras dengan 2 juta urusniaga.

Justeru itu, GDP hanya menunjukkan angka angka daripada orang kaya tetapi kerja keras orang biasa tak ditunjuk. Pendek kata, GDP tidak menunjukkan kerancakan ekonomi, tak menunjukkan berapa cepat ekonomi bergerak.

Pada masa yang sama, GDP juga tidak menunjukkan berapa adil sumber ekonomi diagihkan di kalangan rakyat. GDP hanya tunjuk naik, naik, turun, tetapi tak menunjukkan berapa banyak orang yang tersisih daripada manfaat ekonomi.

Jika kita tidak mempertimbangkan aspek:

1) Pergerakan
2) Pengagihan

Maka sebarang perbincangan ekonomi adalah sia sia.

Dan ada pihak seperti Shahril mahukan Lockdown Penuh. Apakah kesan Kawalan Pergerakan Penuh?

Ia akan mengakibatkan ekonomi kurang bergerak. Abaikan, lupakan GDP yang tak relevan itu. Lockdown tetap menyebabkan ekonomi bergerak perlahan. Sekarang sudah perlahan. Kalau kawalan penuh, pasti ekonomi akan jauh lebih perlahan.

GDP hanya satu ukuran ekonomi yang gagal mengukur pergerakan dan pengagihan tetapi kalau kita tak guna GDP sekalipun, kita tetap kena menggerakkan ekonomi, tetap kena mengagihkan ekonomi.

Oleh sebab faktor ekonomi dijadikan asas perbincangan, maknanya kita kena menolak Kawalan penuh kerana ia buat ekonomi menjadi lebih perlahan. Ekonomi kurang bergerak, bermakna pendapatan dalam sektor swasta akan merosot teruk. Semakin banyak orang tak cukup makan, semakin banyak orang tak dapat bayar hutang. Ingat pendapatan dan kuasa membeli atau membayar hutang bergantung kepada berapa cepat duit atau ekonomi bergerak.

Jika sesiapa mahu memperjuangkan Lockdown Penuh, boleh. Tapi jangan digunakan langsung hujah ekonomi. Kerana Kawalan Pergerakan Penuh pasti memperlahankan ekonomi. Sebaliknya, sesiapa yang mahu Lockdown Penuh, lebih baik guna hujah “Menyelamatkan nyawa” saja.

Kesimpulannya, kita boleh desak kerajaan buat Kawalan Pergerakan Penuh (Full lockdown) atas sebab mahu “Menyelamat nyawa rakyat”. Jika tak nak Lockdown Penuh, boleh gunakan alasan ekonomi.

Yang paling mengarut ialah pihak yang mahu wabak Covid dihentikan secepat mungkin kerana tiada siapa tahu secara pasti adakah betul betul wabak seperti ini boleh dihapuskan daripada muka bumi.

Walau bagaimanapun, saya berterima kasih kepada Ketua Penerangan UMNO kerana seperti saya, mendidik orang ramai tentang betapa tak relevannya ukuran KDNK. Cuma kalau boleh, jika kita mendidik orang ramai, kita didik betul betul, bukan separuh separuh. Pendidikan tentang ekonomi harus dilakukan secara “good faith” (niat murni), bukan propaganda untuk mana mana parti politik.

Hezri Sardi

MMT

MMT
(Hezri Sardi)

Ada sebuah kampung. Kampung ni berdaulat, maknanya ia tak bernsung di bawah mana mana negara atau kerajaan. Kampung itu boleh mentadbir sendiri.

Kampung itu boleh mencipta / mengeluarkan duit atau matawang sendiri. Matawang kampung itu dipanggil ringgit. Penduduk kampung boleh gunakan duit ringgit untuk beli barang.

Masalahnya satu. Kampung itu tiada apa apa. Makanan pun tiada. Mereka pun terpaksa beli dari negara luar. Masalahnya barang daripada luar hanya dapat dibeli dengan matawang asing iaitu dollar.

Masalahnya kampung itu hanya ada matawang sendiri iaitu ringgit yang tidak laku untuk beli barang luar. Kampung itu tiada cara lain selain daripada memberi ringgit kepada orang yang memiliki dollar. Sebab duit tak laku, terpaksa pakai banyak ringgit untuk dapatkan dollar. 10 ribu ringgit untuk dapatkan 1 dollar. 1 kilo daging lembu harga biasa 1 dollar. Daging lembu pun berjaya dibawa masuk. 1 kilo 10 ribu ringgit, mahal sebab gaji sebulan penduduk kampung hanya 2 ribu ringgit. Harga daging lembu sebagai sumber makanan, pun melambung. Ini dipanggil hyper inflasi.

Punca masalah ekonomi di atas ialah bukan kerana kampung itu mencipta banyak duit baru, tetapi kerana kampung itu tiada daging lembu.

Tapi penduduk kampung pun membiak baka, ternak lembu, ayam, dan kambing. Mereka menjual kepada penduduk kampung lain dalam matawang ringgit. Tak perlu dapatkan dollar. Tiada lagi hyper inflasi.

Kampung boleh cipta seberapa banyak duit selagi bekalan daging cukup untuk semua penduduk. Kalau penduduk ada 1 juta orang, bekalan makanan yang dihasilkan dalam kampung mesti cukup untuk 1 juta orang makan. Tiada istilah kampung tiada duit sebab sebagai kerajaan berdaulat, kampung boleh hasilkan duit sendiri.

Kekangan bukan kekangan kewangan. Kekangan hanya adakah barang sebenar dalam kampung itu cukup untuk menampung kehidupan 1 juta orang penduduk.

Keadaan di atas ialah juga keadaan dalam dunia sebenar. Ia ialah realiti yang banyak orang tak tahu. Satu gerakan ilmiah di seluruh dunia cuma memberi pendidikan kepada orang ramai tentang realiti di atas. Gerakan ilmiah ini dipanggil Modern Monetary Theory (MMT).

Tapi adakah ia penting untuk kita?

Sekarang kita menghadapi wabak yang buruk. Lockdown demi lockdown, kawalan demi kawalan dilaksanakan. Kegiatan ekonomi terbatas. Rakyat tak dapat cari makan.

Rakyat pun marah, mahu mereka dibantu. Namun masalahnya, untuk membantu rakyat kerajaan perlukan duit. Daripada mana kerajaan nak dapatkan duit? Hutang. Kerajaan pinjam daripada bank negara. Apabila kerajaan pinjam duit daripada bank negara, duit ringgit baru dicipta. Ini yang dipanggil Cetak Duit. Tapi hasil daripada kerajaan cipta duit baru atau pinjam bank negara ialah “HUTANG NEGARA” naik.

Justeru itu, walaupun kerajaan tiada masalah untuk cipta duit ringgit untuk beri bantuan kepada rakyat, kerajaan dikekang oleh hutang negara.

Dikatakan hutang negara sudah mencapai 55% daripada GDP. Hampir semua hutang negara tadi dalam matawang ringgit.

Kerajaan tak dapat beri bantuan kepada rakyat sebab had siling hutang negara.

Ada juga rakyat “bodoh” yang bagi cadangan supaya potong gaji menteri untuk diberi kepada rakyat. Mereka tak pernah fikir pun kalau semua Menteri dibayar gaji RM1,200 sebulan pun, tetap tak cukup untuk bantu rakyat. Orang yang fikir kerajaan kena jimat itu ini, adalah punca masalah, pemikiran ini dipanggil “Austerity”. Sepatutnya orang yang fikir sebegini, dimasukkan ke dalam guni lalu dicampak ke laut.

Berbalik kepada persoalan hutang negara, untuk beri lebih banyak bantuan kepada rakyat, kerajaan kena pinjam lebih banyak, kena naikkan hutang negara.

Tanpa naikkan hutang negara, tiada duit yang cukup untuk diberi kepada rakyat. Tapi kalau rakyat dan ahli politik bising, marah kerajaan di media sosial pasal hutang negara yang tinggi, sampai bila bila pun hutang negara tak naik, dan bantuan cukup tak dapat diberikan kepada rakyat.

Apabila terbaca, terdengar orang bising, mahu kerajaan beri bantuan kepada rakyat, jantung saya nak meletup! Saya terasa macam nak ludah, pukul orang yang minta bantuan itu.

Kalau kita minta bantuan daripada kerajaan, kita sebagai makhluk berakal, patut tanya diri sendiri, bantuan itu perlu duit. Daripada mana kerajaan nak dapat duit untuk bagi bantuan ?

Semua tahu mintak, tapi tak tahu daripada duit bantuan itu datang. Ahli politik kedua belah pihak berdolak dalih, tak menjawab masalah ini.

Modern Monetary Theory (MMT) cuba menyedarkan orang yang berdolak dalih ini. Ini peranan MMT !

Idea utama dalam MMT bukan “Cetak Duit”. Idea utama yang diperjuangkan oleh MMT ialah:

1) Mengembalikan semua tanggungjawab sosial daripada swasta kepada kerajaan.

2) Ekonomi tidak dibataskan oleh kekangan kewangan atau hutang negara. Ekonomi hanya dibataskan oleh sumber sebenar dalam ekonomi seperti manusia, hasil perlombongan, pertanian.

Banyak mazhab ekonomi bercakap pasal perkara di atas tetapi MMT fokus untuk menyerang pihak pihak yang berdolak dalih dalam isu di atas.

Kami dulu cuba memperjuangkan hal ini, Cetak Duit supaya kerajaan dapat bantu rakyat, sebaliknya kena bantai teruk di media sosial. Kami cakap benda betul untuk bantu rakyat tapi kena bantai oleh rakyat yang kita nak bantu.

Selepas lebih 1 tahun dilanda wabak, rakyat hadapi masalah hutang, tak dapat cari makan, mahukan kerajaan bantu. Sebenarnya, dalam hati saya, saya cakap “padan muka”, “lantak kau lah”.

Tapi mungkin juga dalam keadaan berlainan, rakyat beri reaksi berbeza. Mungkin tahun lepas, rakyat belum cukup susah. Sekarang pula mungkin, rakyat dah alami lebih banyak pengalaman, dah matang sikit. Sikap bongkak tu dah kurang sikit.

Justeru, saya mengulangi apa yang kami kata tahun lepas. Untuk kerajaan beri bantuan cukup kepada rakyat sampai kita atasi wabak ini, kita perlu minta kerajaan naikkan had hutang negara. Bantuan yang lebih banyak dapat diberi jika hutang negara dapat dinaikkan.

Kalau kita minta bantuan kerajaan tanpa fikir duit itu datang daripada mana, kita ialah orang bodoh.

Hezri Sardi

Conversion

Conversion
(Hezri Sardi)

Isu ini ialah isu yang sudah amat penting kerana melibatkan nyawa manusia. Sekarang kegagalan memahami ekonomi sudah sampai dapat mengancam manusia.

Baru baru ini diumumkan Full Lockdown atau Kawalan Pergerakan Penuh seluruh negara kerana kes jangkitan wabak Covid amat tinggi. Antara ekonomi dan keselamatan rakyat, kerajaan pilih keselamatan rakyat. Namun setelah lockdown berlaku, tiba tiba pihak berkuasa berkaitan beria ia mahu melindungi ekonomi. Misalnya, kilang kilang yang tiada kaitan dengan survival manusia dibenarkan beroperasi. Dan sebab ia dibenarkan beroperasi, menurut Menteri Menteri berkaitan adalah demi mempertahankan ekonomi.

Dibayangkan bahawa ekonomi menurut mereka bermaksud,

1) Pendapatan negara (dalam ringgit)
2) Keluaran Dalam Negara Kasar / GDP (dalam ringgit)
3) Perdagangan antarabangsa (dalam ringgit)
4) Pelaburan asing (dalam ringgit)

Semua di atas adalah maklumat dalam nilai ringgit.

Tapi kita tahu, untuk buat keputusan dengan jaya, kita kena terlebih dulu memahami maklumat yang tepat, bukan maklumat silap. Sayang sekali semua maklumat yang diguna sebagai alasan untuk buka atau tutup ekonomi, untuk mempertahankan ekonomi adalah tak tepat.

Kenapa? Kerana maklumat maklumat tersebut telah melalui terlalu banyak “conversion”.

Misalnya. Syarikat A di Malaysia, ada:

1) 100 juta dollar
2) 100 tan minyak sawit
3) 100 ribu spare part komputer

Biasanya, dalam perancangan ekonomi, pihak berkuasa melaporkan maklumat seperti di bawah:

1) 1 juta dollar
1 dollar bersamaan 4 ringgit. Justeru, syarikat dan kerajaan melaporkan ia sebagai 400 juta ringgit walaupun ia sebenarnya bukan ringgit tetapi dollar.

2) 100 tan minyak sawit
Katakan 1 tan minyak sawit bersamaan 900 dollar, maka 100 tan bersamaan 90,000 dollar. Kemudian, ditukar lagi kepada ringgit, 360 ribu ringgit. Ia akhirnya dilaporkan sebagai 360 ribu ringgit walaupun ia sebenarnya 100 tan minyak sawit.

3) 100 ribu spare part komputer
1 spare part komputer, katakan berharga, 50 dollar. Kalau 100 ribu, jumlahnya 5 juta dollar, bersamaan 20 juta ringgit.

400 juta ringgit (yang sebenarnya 100 juta dollar), campur 360 ribu ringgit (yang sebenarnya 100 tan minyak sawit), campur 20 juta ringgit (sebenarnya 100 ribu spare part komputer), semuanya dilaporkan berjumlah Rm420 juta 360 ribu.

Apabila kita memahami maklumat hanya sebagai RM420 juta 360 ribu, kita tak tahu sifat sebenar apa yang wujud iaitu 100 juta dollar, 100 ribu spare part dan 100 tan minyak sawit.

100 juta dollar, sifat dan potensinya tak sama dengan 400 juta ringgit. 100 tan minyak sawit tak sama sifat dan potensi dengan 360 ribu ringgit.

Meringkaskan begitu banyak sifat dan perkara kepada angka ringgit, mengakibatkan kita tak faham sifat dan potensi sebenar dalam ekonomi.

Misalnya semasa wabak Covid, dan semasa lockdown, Menteri yang jaga ekonomi dan pihak berkuasa hanya memahami daripada nilai ringgit yang diringkaskan seperti diterangkan tadi.

Perniagaan kecil sederhana diarah tutup sebab mereka tak penting. Kenapa PKS dianggap tak penting?

Sebab setiap jualan PKS itu kecil malah sewaktu Covid, banyak PKS yang mengalami kerugian.

Sebaliknya kilang besar dan Firma asing pula jualan jauh lebih besar, malah mereka mencatat untung.

Justeru, jika diukur kepada nilai GDP, pendapatan, dan perdagangan kilang kilang besar, seolah olah mereka ini saja yang memberi sumbangan ekonomi kepada negara.

PKS yang jualan kecil malah rugi tak memberi sumbangan ekonomi.

Ini jika menurut analisa konvensional berdasarkan nilai ringgit yang diguna Menteri dan pihak berkuasa.

Tetapi jika dilihat daripada bilangan barang sebenarnya yang bergerak di bawah, PKS sebenarnya ada kepelbagaian dan Produktiviti yang besar.

Dan nilai yang besar besar oleh kilang kilang itu sebenarnya barang dan duit tak sampai ke semua rakyat.

Jika PKS, berlaku pengagihan barang dan duit ke seluruh rakyat.

Apa yang orang di atas yang perasaan diri faham ekonomi tetapi sebenarnya tak faham ialah:

1) Dia memahami nilai yang diringkaskan, gagal memahami ekonomi sebenar

2) Dia juga hanya melihat nilai perdagangan yang besar tetapi gagal melihat daripada aspek pengagihan manfaat ekonomi tersebut kepada semua rakyat.

Atas kefahaman konvensional yang silap ini, misalnya, berlaku kecelaruan dalam menyeimbangkan antara keperluan kawalan pergerakan (lockdown) dan keperluan ekonomi.

Terdapat model ekonomi berjaya berdasarkan analisa sebenar (bukan nilai ringkas) seperti yang dibangunkan oleh Wassily Leontief, pemenang anugerah Nobel ekonomi yang model ekonomi sebenar nya diguna oleh Amerika Syarikat dan Soviet Union semasa perang dunia ke 2.

Namun, ini semua hanya dapat dicapai jika pihak yang menjaga ekonomi negara belajar atau buat pembelajaran sepanjang hayat. Bukan hanya belajar ekonomi 20 tahun lepas, tapi kemudian berhenti belajar.

Dan hal ini amat penting sebab bukan saja ia menentukan jatuh bangun ekonomi tetapi sekarang nampaknya kegagalan memahami ekonomi mengakibatkan nyawa terancam.

Wallahualam

Hezri Sardi

Cambridge Capital Controversy

Cambridge Capital Controversy
(Hezri Sardi)

Baru baru ini kita selalu dengar negara rugi RM1 bilion setiap hari !
Rugi RM1 bilion sehari ini digunakan sebagai hujah bagi buat dasar dasar penting kerajaan. Jika premis negara rugi RM1 bilion sehari adalah betul, maka dasar kerajaan pun jadi betul. Sebaliknya, jika premis bahawa negara rugi 1 bilion sehari adalah salah, maka dasar kerajaan pun salah.

Oleh itu, pemahaman ekonomi berkenaan “negara rugi RM1 bilion sehari” adalah penting untuk dibincangkan.

Bab pertama ialah makna untung rugi. Bila duit jualan melebihi belanja, sesuatu perniagaan dikatakan untung. Belanja melebihi jualan, dikatakan rugi. Sebenarnya, pemahaman ini tak tepat.

Namun begitu. Katakan harga barang ialah RM 10 setiap unit. Kos untuk dapatkan setiap unit ialah RM 5, ini bermakna Untung kasar ialah RM 5. Saya tegaskan di sini, RM5 itu bukan UNTUNG, tetapi hanya untung kasar. Untung kasar ialah konsep yang universal, kerana terpakai kepada semua orang dalam apa jua perspektif.

Ada satu lagi konsep iaitu Untung bersih, iaitu Untung kasar tolak belanja lain seperti gaji dan overhead. Untung bersih bukan suatu konsep universal seperti untung kasar sebab ia konsep yang dicadangkan dalam accounting saja. Namun biasanya, peniaga akan melihat untung bersih sebagai UNTUNG sebab semua orang cakap macam tu.

Sebenarnya, tak tepat. Untung bukanlah duit masuk setelah ditolak semua belanja. Apa makna sebenar UNTUNG ?

Sebenarnya, UNTUNG RUGI ialah perubahan dalam modal. Modal dalam bahasa orang puteh ialah Capital. Bila modal (capital) bertambah, Untung. Bila modal (capital) berkurang, rugi.

Memang betul kalau tambah tolak harga dan Kos, boleh dapat untung kasar. Untung kasar menentukan sama ada sesuatu perusahaan itu berbaloi atau tak. Tak kan lah, kalau kos barang berniaga RM 10, kita nak jual RM5 ? Tak berbaloi, buat habis beras saja.

Tapi untung sebenar berbeza dengan untung kasar. Untung ialah bila sampai satu tempoh itu, misalnya 1 tahun, adakah modal kita naik? Kalau jumlah modal turun, maka rugi.

Akauntan ialah makhluk yang konsisten macam pembaris, tetapi cara cara melaporkan banyak berubah ubah selama 40 tahun ini.

Britain, yang menjajah kita, daripada tiada peraturan, dia buat SSAP. Daripada SSAP, dia buat FRS. Di dunia yang lebih besar, daripada tiada apa apa atau GAAP, dia ada IAS. IAS menjadi IFRS. Tapi kalau negara itu, misalnya, UK dah ada FRS sendiri, tak payah ikut IFRS. Negara macam Malaysia, sekarang dah ada MFRS sendiri. Tak kisahlah SSAP ke, IFRS ke, FRS ke, MFRS ke, apa yang sebenarnya cuba dicapai oleh kaedah kaedah ini?

Tujuan utama asalnya ialah membolehkan kita memahami KEADAAN EKONOMI sesuatu perniagaan. Penyata kewangan, daripada 3 paling asas, iaitu aliran tunai, untung rugi, dan kunci kira kira hanya nak membolehkan kita faham akan keadaan ekonomi perniagaan. Bukan untuk memahami KEADAAN undang undang perniagaan.

Sebab itu, kalau beli kereta secara hutang, kereta itu adalah aset kita walaupun bank ada hak undang undang ke atas kereta itu. Ada banyak lagi contoh, tetapi melalut sejauh itu akan buat kita lari topik.

Sebab sebelum FRS semua ini wujud, ada suatu prinsip dalam accounting, sebenarnya ia juga ialah prinsip dalam kehidupan, prinsip ini dibaca seperti ini:

“Substance over form”
Atau:
“ECONOMIC substance prevails over LEGAL form”

Bentuk undang undang tidak boleh diutamakan ke atas intipati ekonomi. Ya. Ekonomi.

Berbalik kepada makna untung rugi, kita mahu memahami kesan ekonomi daripada perubahan modal. Modal bertambah, kesan ekonomi ialah untung. Modal berkurang, kesan ekonomi ialah rugi.

Bagi memahami keadaan ekonomi, kita perlu ada kerangka, mazhab. Kerangka ini boleh jadi macam cermin mata. Cermin mata gelap , kita nampak lain. Teropong, nampak lain. Mikroskop nampak lain.

Apabila kita memahami perubahan modal atau untung rugi dengan kerangka/mazhab yang salah, maka kita memahami ekonomi secara salah.

Dipendekkan cerita, terdapat satu peristiwa yang dah putuskan kerangka mana satu yang betul.

2 pihak berbahas tentang modal, untung dan rugi.

Satu pihak daripada kerangka konvensional yang dikenali sebagai neo-classical dan Marginalism. Terdiri daripada Massachusetts Institute of Technology (MIT) yang terletak di Cambridge, Amerika. Terdiri daripada Robert Solow dan Paul Samuelson.

Di pihak satu lagi, Luigi Pasinetti, Joan Robinson, dan Piero Sraffa daripada University of Cambridge, England. Mereka berkerangka Post-Keynesian. Piero Sraffa ialah pengasas Sraffian.

Kebetulan kedua dua universiti terkemuka yang berbahas itu terletak di Cambridge, satu Cambridge Amerika, satu lagi Cambridge England, dan perbincangan tentang modal, maka ia kemudian dikenali sebagai “Cambridge Capital Controversy”.

Perbahasan amat panjang lebar, jadi saya tolong simpulkan. Akhirnya, kerangka ekonomi konvensional kalah. Mereka mengaku silap lalu membuang benda yang salah daripada mazhab mereka, malah telah mengambil pula beberapa aspek daripada Sraffian. Walau bagaimanapun, buku buku teks ekonomi di luar sana masih pakai teori teori yang dibuktikan salah, malah konsep salah digunakan dalam buat dasar kerajaan di seluruh dunia, termasuk Malaysia sampai sekarang.

Apa yang dibuktikan sebagai salah itu? Negara rugi RM1 bilion setiap hari adalah salah jika mengikut Cambridge Capital Controversy!!

Dari mana rugi RM1 bilion ini datang? Adakah rugi setiap perniagaan dan syarikat di Malaysia dicampur semua? Tak mungkin sebab banyak perniagaan tak ada rekod untung rugi pun!

Kemungkinan besar rugi RM1 bilion sehari itu dikira daripada anggaran rugi setiap industri, terutamanya yang bersaiz besar. Tapi bolehkah rugi industri yang barang bermacam beza ini dicampur semua, main pukul rata? Mengikut Cambridge Capital Controversy, tak boleh!!

Ladang A hasilkan kambing. Kilang B hasilkan mikrochip. Kilang C hasilkan air botol. Kolej D keluarkan graduan. Petronas melombong petroleum.

Mengikut logik fikiran “Negara rugi RM1 bilion sehari”, kambing campur microchip campur air botol campur graduan campur petroleum, lalu menghasilkan benda baru dipanggil kambichipbotolgraduleum. Apa benda nya kambichipbotolgraduleum ini ? Mengarut, bukan?

Supaya nampak bijak lagi meyakinkan, kambichipbotolgraduleum itu ditukar ke bentuk duit. Misalnya RM1 bilion. Kambing, microchip, air botol, graduan dan petroleum semuanya dijadikan money equivalent, atau dijadikan dalam nilai ringgit. Setelah benda benda berbeza tadi ditukar ke bentuk sama, iaitu nilai ringgit, barulah dicampurkan jadi nilai RM1 bilion.

Maka jadi lah negara rugi RM1 bilion sehari.
Maka jadi lah pelaburan asing FDI masuk negara RM1 bilion.
Maka jadilah Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) RM1 bilion.

Namun kaedah tadi telah dibuktikan salah, Ekonomis konvensional yang asalnya membawa cara itu pun dah bertaubat dan ubah apa yang salah. Tapi buku teks dan dasar negara kita masih mengikut cara yang orang semua kata salah.

Apa cara yang betul? Berikut ialah cara Piero Sraffa dan rakannya dari Cambridge England.

Ladang A hasilkan 10,000 kambing.
Kilang B hasilkan 10,000,000 mikrochip.
Kilang C hasilkan 100,000 air botol.
Kolej D keluarkan 1,000 graduan.
Petronas melombong 1,000,000 tong petroleum.

Cara salah ialah mencampur-aduk semua benda berbeza tadi sebagai satu benda dengan mengubah sifat asal benda. Cara yang betul pula mencampur semua benda berbeza tadi sebagai benda yang berbeza tanpa mengubah sifat asal.

Piero Sraffa menyelesaikan masalah di atas melalui kaedah matematik, atau lebih tepat lagi linear algebra. Matematik ada 2 cabang utama, iaitu calculus dan algebra. Sila lihat kiraan linear algebra di bawah:

10,000 kambing + 10,000,000 microchip + 100,000 botol air + 1,000 graduan + 1,000,000 petroleum

Kambing masih kambing. Microchip masih microchip. Graduan masih graduan Seterusnya semua tak berubah jadi benda lain.

Dalam kerangka konvensional yang diguna sampai boleh dapat “Negara rugi 1 bilion” atau “Pelaburan masuk 1 bilion” itu, pelbagai bentuk barangan diubah bentuk atas kertas lalu digabungkan, jadi suatu nilai, misalnya RM1 bilion . Ini dibuktikan salah.

Menurut Sraffa dan rakannya, atas kertas, kita tak boleh ubah bentuk benda benda. Tapi selepas diproses dalam dunia sebenar, misalnya, 100 kambing dan 1 tong petroleum diproses menjadi daging kambing goreng. Setelah berlaku pengilangan dan benda benda tadi berubah, bercampur dalam dunia sebenar, barulah kita boleh, atas kertas, campurkan dia melalui model Wassily Leontief.

Hasil hasil daripada industri industri berbeza tak boleh sewenang-wenangnyandicampurkan dengan hanya tukarkan ia menjadi nilai duit. 100,000 ekor kambing ialah 100,000 ekor kambing, tak boleh tiba tiba jadi RM80 juta di atas kertas.

Bila kita kata negara rugi RM1 bilion atau pelaburan baru RM1 bilion, ia pasti nilai kepada 1001 benda. Benda benda ini semua mesti dilaporkan dalam bentuk sebenar, kalau ditukar dalam bentuk nilai ringgit, adalah salah.

Apatah lagi dengan penuh yakin kata “negara rugi RM1 bilion” atau “pelaburan asing masuk RM1 bilion”, lalu gunakan kefahaman salah ini untuk buat dasar negara. Ini semua mengajar rakyat pasal benda yang tak betul.

Punca kenapa ekonomi difahami secara salah berpunca daripada semua benda yang berbeza dilaporkan sebagai satu bentuk saja.

Jika ekonomi difahami melalui nilai yang besar besar, tentulah kilang kilang dan bank bank yang dinilai secara besar adalah penting untuk negara. Tapi jika kita abaikan nilai, dan nyatakan benda dalam bentuk sebenar, hasil daripada perniagaan kecil sederhana sebenarnya menyumbang bilangan hasil sebenar yang lebih besar daripada kilang kilang asing dan bank. Cuma perniagaan kecil sederhana ini nilainya kelihatan kecil.

Kesimpulannya, kita salah kalau beria ia cakap negara rugi berbilion sehari atau bawa masuk berbilion pelaburan baru.

Hezri Sardi

Pemulihan Ekonomi

Pemulihan Ekonomi
(Hezri Sardi)

Perdana Menteri baru baru ini mengumumkan Pelan Pemulihan untuk wabak covid-19. Terdapat mereka yang marah, ketawakan pelan tersebut. Saya tahu kenapa mereka tak puas hati.

Saya tak nampak apa masalah. Sekurang kurangnya permintaan saya menjadi kenyataan, iaitu dalam pelan itu kerajaan hanya fokus untuk menyelesaikan masalah wabak. Tak mencampur aduk pelan kesihatan dengan pelan ekonomi. Ada orang kata pelan itu perlahan lahan. Tapi dia kena tahu tak siapa tahu bila Covid betul betul dapat dihapuskan dari muka bumi.

Namun kita tetap dapat pulihkan wabak Covid, cuma tak tahu bila. Pemulihan Covid itu wujud, boleh dibuat.

Kerajaan mengasingkan pemulihan Covid dengan pemulihan ekonomi adalah betul. Lockdown yang baru baru ini dibuat pula, GAGAL! Ada orang cuba mengaitkan penurunan kes dengan lockdown yang berjaya. Kita perlu berfikir secara methodical, menurut kaedah. Lockdown terbaru ini, tak kisah macam mana kita nak pertahankan, tak kisah kes turun atau tak, adalah gagal! Kerana kita nak capai 2 perkara sekaligus, iaitu pemulihan wabak dan pemulihan Ekonomi.

Pelan Pemulihan yang baru diumumkan Perdana Menteri baru baru ini betul sebab ia fokus kepada Covid manakala Lockdown pula GAGAL kerana kita nak pemulihan Covid dan pemulihan ekonomi pada masa yang sama.

Kenapa nak buat pemulihan ekonomi semasa lockdown? Sebab ada ahli politik yang sangka dia dapat “pulihkan ekonomi”.

Perkataan “pemulihan ekonomi” ini memang sedap didengar. Sesiapa yang menuturkan perkataan “pemulihan ekonomi” akan berasa diri macam hero.

Tapi kalau Tuan Puan perasan, susah nak jumpa perkataan “pemulihan ekonomi” daripada saya. Saya selalu guna perkataan “masalah ekonomi” atau “menyelesaikan masalah ekonomi”. Kenapa saya suka “penyelesaian masalah ekonomi” ? Kenapa saya mengelak “pemulihan ekonomi”?

Saya beri satu cerita.

Ada satu tempat ini, penduduk nya setiap 5 tahun untuk melantik pemimpin. Apabila pemimpin dilantik, penduduk mahu pemimpin itu memulihkan usia penduduk. Setelah 5 tahun, usia penduduk meningkat. Kerana gagal memulihkan usia penduduk, pemimpin tadi kena buang.

Penduduk pun melantik pemimpin baru dan mahu pemimpin itu memulihkan usia mereka. Pemimpin baru itu, takut kena buang, siang malam mencari ubat untuk pulihkan usia. Tapi setelah 5 tahun makan ubat awet muda, usia penduduk tetap meningkat. Penduduk kata pemimpin tadi gagal lalu buang dia.

Ada ahli politik kata dia dapat pulihkan usia penduduk. Penduduk percaya sembang politikus tadi lalu melantik dia sebagai pemimpin seterusnya.

Politikus tadi pun takut kena buang. Sebab terdesak, dia pun beli bahan kosmetik untuk buat orang kelihatan lebih muda. Mula mula orang percaya sebab mereka nampak muda tapi setelah 5 tahun, rupa rupanya usia penduduk masih meningkat. Politikus tadi pun kena buang.

Walaupun pemimpin semua kena buang, masih ada lagi politikus berjanji untuk pulihkan usia penduduk. Politikus baru itu pun dilantik sebagai pemimpin seterusnya. Politikus baru itu pun menghadapi isu yang sama, iaitu takut kena buang.

Dia pun beri mekap yang lebih tebal. Semua cermin muka penduduk dimusnahkan lalu diganti cermin baru berteknologi tinggi. Bila penduduk tengok cermin, cermin memaparkan muka mereka yang cantik dan muda 10 tahun.

Mula mula penduduk memuji politikus baru tadi kerana buat mereka lebih muda, tapi selepas 5 tahun, penduduk berasa kulit mereka berkedut, rambut beruban, kaki semakin lemah. Rupa rupanya, penduduk tetap menjadi tua. Penduduk mengamuk kerana politikus itu menipu mereka. Mereka bukan saja memecat tapi membunuh politikus itu.

Dalam cerita tadi, siapa yang salah? Adakah pemimpin dan ahli politik yang salah kerana gagal memulihkan usia penduduk.

Atau penduduk yang salah kerana meminta sesuatu yang tak wujud iaitu pemulihan usia?

Jawapan anda terhadap soalan di atas menentukan halatuju negara kita.

Berbalik kepada dunia sebenar, Pelan Pemulihan diumumkan Perdana Menteri adalah betul kerana wabak covid-19 boleh diselesaikan cuma tak tahu bila.

Tapi pemulihan ekonomi pula tak wujud. Kita tak boleh buat pemulihan ekonomi sebab pemulihan ekonomi itu tak wujud. Kita tak boleh buat benda yang tak wujud.

Selain menggunakan ayat “penyelesaian masalah ekonomi”, saya juga syor rakyat berlatih berfikir secara negatif dalam isu ekonomi. Kenapa?

Kerana walaupun “pemulihan ekonomi” tak wujud, masalah ekonomi wujud. Masalah ekonomi banyak. Masalah hanya difahami melalui fikiran negatif. Saya tidak lah setiap masa berfikir negatif tetapi saya tukar kepada mode negatif apabila belajar ekonomi. Kerana masalah ekonomi hanya difahami dengan fikiran negatif.

Kalau kita asyik nak:
1) Bangunkan ekonomi
2) Pertumbuhan ekonomi
3) Memajukan ekonomi
4) Pulihkan ekonomi

Kita tak nampak masalah masalah ekonomi seperti:

1) Jurang antara miskin dan kaya
2) Pengangguran
3) Hutang rakyat yang amat besar dan muflis
4) Rakyat yang berkongsi ramai ramai duduk dalam satu rumah
5) Rakyat yang kurang zat makanan
6) Gaji rendah, kos sara hidup yang tinggi

Semua ini masalah ekonomi yang kalau tak selesai, teruk jadinya.

Tapi macam mana masalah ekonomi nak selesai kalau kita tergopoh gapah maju ke depan membuta tuli, masalah semua tolak tepi, sorok bawah karpet?

Nak pulihkan ekonomi bermaksud, nak kembalikan ekonomi ke masa lalu, nak kembalikan keadaan ekonomi daripada B ke A.

Kalau macam tu, nak pulihkan ekonomi ke keadaan tahun bila?

2019? 2018 ? 2017 (ada GST) ? 2008 ke 2010 (kegawatan ekonomi dunia) ? 2005 ? 2003 ? 1999 ? 1997 ? 1990 ? 1980 ? 1970 ? 1960 ? 1950 ?

Cakap betul betul nak pulihkan ekonomi ke tahun bila ? Perlu diingatkan tahun tahun yang disebut tadi semuanya ada masalah masalah ekonomi tersendiri.

Kalau nak memulihkan, kembalikan, mesti ada satu titik asal yang kita kembali. Tahun yang mana satu ?

Selalu bila sebut pemulihan ekonomi ini, selalu disebut pasal pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP). Bermatian nak kembalikan GDP ke positif. Saya selalu jelaskan secara terperinci bahawa GDP adalah penunjuk aras yang silap, jauh daripada menunjukkan keadaan ekonomi sebenar. Terlalu banyak isu dengan GDP ini. Tapi pemulihan ekonomi ini hanya melihat kepada GDP.

Jurang kekayaan meningkat? Lantak.
Pengangguran, gaji rendah ? Lantak.

Kita fikir asalkan GDP menaik, semua masalah ekonomi selesai secara automatik.

Ada ahli ahli politik yang keliru, terdesak nak buat pemulihan ekonomi. Ahli ahli politik ini nak tunjuk yang ekonomi pulih sebab takut rakyat marah kalau tiada pemulihan ekonomi. Orang puteh kata, “politician must really be scraping the bottom of the barrel to throw up something that can put him in a good light.”.

Kita kena mendidik masyarakat yang pemulihan ekonomi itu tak wujud, sebaliknya masalah ekonomi itu wujud dan wajib diselesaikan. Sebab politikus, anda kutuk macam mana pun, mereka adalah cermin, manifestasi kepada rakyat. Ahli politik tak muncul tiba tiba daripada bulan, atau keluar daripada drama Korea, ahli politik muncul daripada rakyat juga.

Wallahualam

Hezri Sardi

Akauntan

Akauntan
(Hezri Sardi)

Baru baru saya tengok satu forum oleh pensyarah perakaunan IPT. Mereka kata kerja akaun di kena berubah untuk kekal relevan. Relevan yang dimaksudkan ialah “berubah seiring dengan teknologi”. Mereka cakap pasal Blockchain. Dengan satu cadangan cliché, iaitu macam mana akauntan guna Blockchain ini untuk membantu peniaga untuk jadi lebih baik. Misalnya, menurut cerita mereka, “maklumat kewangan” daripada akauntan dapat sampai kepada peniaga dan peguam dengan cepat dan mereka dapat respon balik kepada akauntan dengan cepat.

Kalau Tuan Puan sebagai pemilik perniagaan, betul betul perlu ke maklumat kewangan sampai sekelip mata kepada anda, malah boleh sampai kepada banyak orang lain sekelip mata. Setahu saya, 99% kerunsingan peniaga datang daripada operasi sebenar. Kalau ada masalah kewangan pun, selalunya ia berpunca daripada operasi perniagaan, bukan angka angka kewangan semata mata.

Saya ada melihat beberapa forum pasal kewangan bisnes dan Blockchain, semua pun idea lebih kurang macam pensyarah tadi cakap.

Bukan pasal Blockchain saja, ada juga forum pasal accounting dan Artificial intelligence (AI). Kononnya, bila kerja kerja renyah, remeh temeh, rutin dalam kewangan, akaun perniagaan dibuat secara automatik dengan komputer atau nama glamernya AI, maka para akauntan dapat fokus untuk “berfikir” untuk meningkatkan perniagaan kecil sederhana.

Bagi saya, ini semua angan angan. Kalau setakat angan angan, saya lebih suka berangan pasal pasal macam mana nak ubah sistem politik dan ekonomi supaya manusia dapat hidup dengan lebih baik. Ini lebih mungkin dicapai, dan lebih berbaloi dicapai.

Teknologi ini, dah macam ikut ikutan. Oh, sekarang IR 4.0, AI, Blockchain, pemain industri pun tergesa gesa nak tunjuk betapa bagusnya mereka bila ada teknologi baru itu kelak.

Tapi akauntan, dalam dunia baru, memang mampu membangunkan PKS, tapi bukan dengan idea teknologi separuh masak tadi.

Bagaimana? Untuk itu, kita kena faham sikit sejarah ilmu perakaunan.

Akauntan itu berasal daripada perkataan orang puteh, Accountant. Ia berasal daripada perkataan “Account”. Maksudnya, melaporkan. Akauntan melaporkan apa yang berlaku dalam perniagaan.

Ilmu akaun atau melaporkan dalam perakaunan moden bermula dengan melaporkan keadaan perniagaan daripada kaca mata undang undang. Maknanya, kewangan ditentukan oleh ada atau tak, pemilikan undang undang.

Fasa seterusnya ilmu akaun mula ambil kira ilmu ekonomi. Ia cuba menjadi titik tengah menghubungkan undang undang dan ekonomi.

Pada abad ke 21, ilmu akaun sedaya upaya cuba ambil kira ekonomi saja kerana ekonomi melambangkan keadaan sebenar.

Namun begitu, ini semua hanya matlamat dalam sistem perakaunan tapi dalam dunia sebenar, amalan, ada kekangan yang mustahil diatasi, kekangan yang membolehkan akaun melaporkan keadaan ekonomi sebenar.

Kekangan yang paling besar ialah format laporan kewangan yang laporan perniagaan mesti dalam bentuk matawang, bukan itu saja, ia mesti dalam satu bentuk matawang saja.

Kalau perniagaan itu ada simpan matawang Euro, dollar, yen, lira, itu semua mesti diterjemahkan ke dalam ringgit.

Kalau perniagaan ada tanah, laporan tak beritahu berapa besar tanah itu dan apa ada di atas tanah itu.

Kalau nak ubah dasar, amat susah sebab kena menguasai politik badan akaun antarabangsa. Para akauntan bahkan badan akaun tempatan terpaksa terima apa yang sana buat.

Tapi supaya graduan perakaunan dapat peluang kerja, lebih banyak nilai tambah yang kena diberikan kepada perniagaan, lebih lebih lagi perniagaan kecil sederhana (PKS).

Oleh sebab format laporan kewangan tak boleh diubah, akauntan boleh tambah satu lagi kerja selain penyediaan rekod akaun dan laporan kewangan.

Walaupun apa yang dapat diberikan terbatas, laporan kewangan memang sekarang ini tujuan utama ialah cuba melaporkan keadaan ekonomi.

Akauntan boleh buat satu laporan ekonomi untuk perniagaan yang tak mengikut format laporan kewangan konvensional.

Maknanya, walaupun akauntan buat untuk sebuah PKS, ada 2 jenis laporan:
1) Laporan kewangan biasa, yang nilainya datang daripada rekod, ledgar akaun.
2) Laporan ekonomi, yang angkanya daripada rekod lain daripada akaun, yang diadakan untuk beri data kepada laporan ekonomi.

Apa beza akaun kewangan dan akaun ekonomi ?

1.
Dalam akaun kewangan, kita ada jenis akaun iaitu aset (harta), Liabiliti (hutang), jualan, belanja.
Dalam akaun ekonomi, kita hanya ada satu jenis akaun, iaitu modal.

  1. Dalam akaun kewangan, semua akaun dinyatakan dalam nilai ringgit.
    Dalam laporan ekonomi, setiap akaun menggunakan unit berbeza. Kalau akaun bank dollar US, angka dalam dollar. Kalau barang stok, Stok berbeza dilapor dalam akaun berbeza. Stok dibahagi kepada 3 jenis – Stok untuk dijual, Stok untuk diproses, Stok untuk diguna habis. Alatulis seperti pen, kalkulator dan kertas A4 ialah Stok digunahabis. Komputer dan printer ialah Stok digunahabis.

Mesin, jentera, bangunan yang diguna untuk kilang, ialah Stok untuk diproses. Pekerja dalam kilang ialah Stok diproses. Pekerja pentadbiran misalnya ialah Stok digunahabis. Kalau minyak direkod dalam milliliter. Kalau jentera dan komputer, direkod dalam unit. Kalau pekerja, tak diukur dalam berapa orang, tetapi diukur dalam jam bekerja.

Setiap tanah atau bangunan masuk rekod berasingan, dan diukur dalam meter persegi.

Pendek kata, laporan ekonomi lebih panjang dan terperinci kerana setiap benda diukur dalam unit berbeza dan semua akaun tak digabungkan sekali walaupun ia direkod dalam unit yang sama.

  1. Semua akaun yang menyumbang kepada laporan ekonomi, angka dibawa ke tahun seterusnya atau Bahasa teknikalnya “brought / carried forward”. Ia masih ada pembahagian bulan dan tahun.

Tiada konsep terakru seperti dalam akaun kewangan. Hanya ada keluar masuk.

Tiada konsep double entry debit kredit untuk 2 akaun berbeza. Cuma ada kurang atau tambah.

Walaupun guna rekod berbeza, tetapi laporan ekonomi tetap ambil bulat bulat nilai dalam akaun bank atau tunai untuk angka kewangan.

Tiada pengiraan untung rugi. Yang ada cuma konsep akaun modal tambah atau kurang.

Walaupun pekerja kilang dikira dalam bentuk jam, sebagai Stok diproses, angka tersebut akan berpindah ke Pekerja kilang jenis Stok dijual apabila menurut anggaran berapa banyak barang akhir untuk dijual yang wujud setiap bulan.

Laporan ekonomi, menurut pengalaman saya, amat disukai dan berguna bagi peniaga sebab ia membantu dalam operasi. Ia juga membantu dalam mengira costing.

Kalau bincang pasal kefahaman ekonomi vs kefahaman perakaunan, tak sah kalau saya tak sebut pasal organisasi kerajaan.

Beberapa tahun dulu, kerajaan persekutuan telah sepenuhnya mengikut sistem perakaunan antarabangsa. Tak salah, bahkan ia buat rekod kerajaan teratur.

Namun begitu, ia ada kesan amat buruk kepada rakyat. Misalnya, tahun Lepas Ketua Audit Negara memberitahu media macam macam berkaitan laporan kewangan negara.

Antaranya, dia risau pasal hutang kerajaan negara yang besar dan cuba mengaitkan hutang besar dengan Ekonomi yang tak baik.

Dia tak faham yang dia hanya membentangkan laporan perakaunan kewangan, bukan laporan ekonomi. Dia tak patut bercakap pasal ekonomi, bidang yang dia tak pandai tak berkaitan pun dengan laporan kewangan.

Kesan daripada kejahilan yang ditayang kepada umum ialah orang ramai ditakut takutkan pasal hutang kerajaan bertambah walhal hutang kerajaan bertambah bukan benda yang buruk pun sebenarnya.

Akauntan sepatutnya elak cakap pasal ekonomi, melainkan kalau dia tahu. Akauntan sepatutnya tak boleh menganggap laporan kewangan sebagai laporan ekonomi.

Ada sebab produk seorang akauntan disebut sebagai laporan kewangan, bukan laporan ekonomi.

Cuma saya mencadangkan agar bidang perakaunan meneroka produk baru selain laporan kewangan, iaitu laporan ekonomi.

Ini dapat bukan saja menambah peluang kepada graduan perakaunan, malah membangunkan perniagaan kecil dan sederhana.

Hezri Sardi