Zahiri vs Liberal: Logik vs Wewenang.

Kes Nik Elin vs Kelantan menyerlahkan satu bentuk pemikiran di kalangan sekelompok orang Islam.
1) Apabila ada tangan manusia dalam sesuatu urusan agama, maka dianggap ia bukan hukum agama.
2) Walaupun sesuatu perbuatan dilarang, kalau tiada hukuman fizikal dalam Quran, maka larangan itu boleh dilanggar.

Semasa sekolah rendah, saya pergi sekolah agama Johor di sebelah petang. Ajaran sekolah tu taqlid ke mazhab Syafi’e.
Sekolah menengah, saya tinggal di asrama. Di sana, ada AJK surau yang tugasnya azan, solat jemaah, usrah/tazkirah. Tazkirah pun hanya cakap pasal sah batal wuduk, solat.
Di luar sekolah ada badan pengawas yang dilantik cikgu dan exco pelajar yang diundi dalam pilihanraya pelajar setiap tahun. Jika AJK surau hanya di surau pada masa tertentu, pengawas dan exco pelajar berkuasa di semua tempat dalam sekolah. Siap ada organisasi, misalnya Ketua pengawas, Presiden, Setiausaha Agung Exco Pelajar. AJK surau semuanya nama jawatan sama iaitu AJK surau.

Masa saya 15 tahun, ada beberapa pelajar baru masuk pada umur mereka 17 tahun. Mereka bawa pengaruh politik Islam ke sekolah. Akhirnya, AJK surau berubah jadi satu badan. Lelaki perempuan bergabung dengan organisasi diketuai Presiden. Walaupun pengaruh mereka masih di surau-surau saja, kandungan tazkirah sebelum selepas solat jemaah dah meluas skop sampai ke Arab. Ikhwanul muslimin, Hassan al Banna, banyak lagi.
Badan yang nama pendeknya BADRI ni ada perlembagaan pendek yang terpampang di surau iaitu:
“Pergerakan ini adalah berlandas kepada Al-Quran, Hadis dan Ijma'”
Di sini, saya selalu hairan sebab di buku teks Pendidikan Islam, ada sumber yang ke 4 iaitu IJTIHAD yakni pendapat ulama. Dan saya tahu dalam Mazhab Syafi’e yang kita bertaqlid guna Qiyas. Kenapa ia tak ditulis jadi sumber ke 4?

2 tahun kemudian, saya jadi Presiden BADRI yang ke 3. Masa tu, saya dah baca yang Dr Yusuf Qaradawi (Allahyarham) tak guna qiyas. Bahkan banyak ulama besar lain misalnya Imam Hanbal kritik Qiyas. Dan ada mazhab lain selain Syafi’e. Pendek kata, ada perbezaan pendapat yang kadang kala keras. Jadi saya faham perlembagaan BADRI hanya sampai Ijma’ saja; sebab nak elak perpecahan. Kenapa nak elak perpecahan? Sebab BADRI bukan setakat nak ajak orang solat, tetapi nak perjuang politik Islam. Cuma masalahnya, walaupun berjawatan Presiden, badan ni pengaruhnya masih terbatas di surau-surau saja. Jadi, saya pun buat rancangan untuk BADRI lebih tinggi daripada Exco Pelajar dan pengawas dalam 3 tahun lepas saya tinggalkan sekolah. Sesiapa yang datang ke sekolah tu kemudian akan dapati badan agama lebih tinggi daripada pengawas dan exco pelajar!

Selepas SPM, sibuk dengan masalah hidup, saya tinggalkan ilmu sampailah masuk 30 tahun, di mana saya mula belajar mazhab hanbali. Saya jumpa mazhab fiqh besar ke 5 iaitu Mazhab Zahiri.
Mazhab ni unik sebab biasanya pengasas mazhab ialah pelopor no. 1. Syafi’e, Hanbali, Hanafi, Maliki tapi pelopor no. 1 mazhab zahiri ialah Ibn Hazm yang lahir lebih 100 tahun daripada pengasasnya. Ibn Hazm juga satu-satunya imam besar mazhab yang hidup di Sepanyol.

Kalau anda ikut sejarah Fiqh secara mendalam, anda akan tahu mazhab zahiri dikenali sebagai “Literalist”, kerana ia ikut bulat-bulat perkataan dalam Quran dan hadis. Ini betul tapi tak cukup betul sebab Imam Ibn Hazm bina Mazhab Zahiri lebih daripada tu. Ibn Hazm terkenal kerana beliau pakar logik yang lebih baik daripada 4 imam mazhab besar kita.

Ibn Hazm boleh dibandingkan dengan Piero Sraffa dalam bidang ekonomi. Kedua-dua “menyempitkan” penggunaan akal dalam ilmu, supaya kemudian dapat diguna dengan lebih meluas. Satu lagi persamaan ialah mereka mengkritik dalam satu subjek yang sangat khusus. Ibn Hazm bidas kaedah Qiyas manakala Sraffa bidas neoclassical (teori demand-supply). Memahami Ibn Hazm membolehkan saya memahami Piero Sraffa 5 tahun kemudian.

Katakan, kita nak jawab satu soalan, “Adakah epal hijau manis?”
Kalau kita guna kedah Qiyas, kita akan kenalpasti “Illat” atau sifat/punca.
Menurut pengetahuan kita, epal merah rasanya manis. Kita pun menganggap epal hijau adalah manis hanya sebab epal merah manis. Walaupun epal hijau dan merah berbeza, kita tersilap anggap sifatnya sama hanya kerana kedua-dua ialah epal!

Ini contoh amalan culas dan cuai bila guna akal dalam analogi atau inductive reasoning. Ini yang biasa berlaku dalam Qiyas menurut Dr Yusuf Qaradawi dan Ibn Hazm.

Dalam bidang ekonomi pun selalu berlaku, misalnya bila nilai Ringgit jatuh, kita anggap ia berpunca daripada eksport jatuh atau pelaburan asing jatuh walaupun tiada bukti perkaitan. Ia penggunaan akal secara cuai dan culas.

Ibn Hazm kata dalam Qiyas, kecuaian biasa berlaku apabila manusia jadi wewenang bila memahami sifat, lihat contoh epal hijau merah tadi. Sebagai alternatif kepada Qiyas, Ibn Hazm guna Ad-Dalil. Maknanya perkataan dalam Quran dan Hadis serta bukti melalui 5 deria. Tidak membayangkan apa-apa yang tiada.

Kita ambil contoh nilai Ringgit berbanding dollar US. Kita sepatutnya cari bukti yang dapat dikesan oleh 5 deria antara Ringgit dan dollar. Tapi kita memasukkan unsur-unsur yang tiada di antara pertukaran Ringgit dollar. Misalnya kita masukkan kadar faedah US atau pindahan pelaburan yang tak melibatkan tukaran dollar Ringgit. Memasukkan unsur tak berkaitan sebenarnya hanya imaginasi akal kita.

Disclaimer di sini, Zahiri bukan Wahabi, bukan Khawarij kerana Wahabi, Khawarij adalah doktrin ideologi manakala Zahiri ialah kaedah intelektual.

Berbalik kepada Nik Elin dan pendokong liberal, mereka ni membawa wewenang ini ke tahap lebih tinggi, ekstrem. Misalnya, solat Jumaat adalah wajib. Maknanya ia dipaksa kerana ada dalil. Tapi orang liberal akan memahami hukum solat jumaat secara wewenang. Asalnya wajib, dipaksa tapi ditukar kepada “amalan agama ni tak boleh dipaksa-paksa, ia hak individu”!

Liberal ni bukan lagi culas atau cuai dalam penggunaan akal. Tapi lebih kepada nafsu. Bukan berkompas kepada standard tetap, tapi standard berubah-ubah ikut apa yang mereka suka dan tak suka.
Puak liberal sekarang kata apa yang melibatkan akal manusia, bukan hukum agama. Jadi, mereka keluarkan begitu banyak hal daripada hukum agama.
Sebaliknya, Ijma’ ada akal manusia dalam tu. Bahkan dalam mazhab yang ketat seperti zahiri, ad-Dalil pun ada akal manusia dalam tu. Jadi tak semestinya bila ada akal manusia terlibat, sesuatu benda tu terkeluar daripada hukum agama. Prinsip yang betul ialah jangan cuai dan culas dalam guna akal. Yang menariknya, jangan cuai dan culas dalam guna akal, ini turut terpakai dalam pemikiran ekonomi!

Hezri Sardi

Leave a comment